Anak keluarga B40 sudah sampai Wisconsin-Madison
Kuala Lumpur: Pilih kawan yang membawa manfaat dan bukannya masalah kepada diri. Itu antara rahsia kejayaan pelajar cemerlang yang menerima anugerah atas pencapaian akademik Darul Kifayah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp).
Bagi penerima Tokoh Anugerah Khas, Muhammad Kasyful Azhim Roslan, 19, berkata, latar belakang keluarga kumpulan B40 tidak menjadi halangan untuknya berjaya hingga ke menara gading.
“Dulu keluarga susah menyebabkan saya tekad belajar bersungguh-sungguh demi mengubah taraf kehidupan keluarga.
“Alhamdulillah, pendidikan awal di Darul Kifayah banyak memberi motivasi kepada saya untuk menempah kejayaan yang lebih baik lagi di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan A-Level,” katanya.
Muhammad Kasyful ditemui ketika penyampaian anugerah Anakku Cemerlang Darul Kifayah 2020 yang disampaikan Pengerusi Maiwp, Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee di Dewan Utama Darul Kifayah, semalam.
Muhammad Kasyful berkata, dia kini sedang melanjutkan pelajaran untuk Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia di Universiti Wisconsin-Madison, Amerika Syarikat (AS) di bawah tajaan Petronas.
“Saya berharap adik-adik yang masih belajar di Darul Kifayah dapat menjadikan pencapaian saya ini sebagai contoh untuk meningkatkan prestasi akademik.
“Walaupun, latar belakang keluarga susah atau B40 tidak semestinya seseorang itu tak boleh berjaya. Apa yang penting adalah kemahuan dan kesungguhan diri untuk berjaya,” katanya.
Sementara itu, penerima anugerah Pelajar Terbaik SPM Darul Kifayah, Muhammad Firdaus Mustapa Kamal,18, yang mendapat 5A turut bersyukur dengan anugerah yang diterimanya.
“Saya masuk Darul Kifayah ketika di tingkatan empat selepas mengetahui insentif belajar secara percuma yang ditawarkan.
“Wang saku RM4 setiap hari persekolahan yang diberikan membantu keluarga berjimat untuk kos persekolahan saya dan tujuh adik-beradik yang lain,” katanya.
Seramai 16 pelajar menerima Anugerah Pencapaian Mata Pelajaran Terbaik, tujuh penerima Anugerah Pelajar Terbaik keseluruhan mengikut peringkat dan lima penerima Anugerah Pelajar Terbaik mengikut penilaian peperiksaan.
Darul Kifayah MAIWP adalah institusi menjaga kesejahteraan anak yatim, saudara baharu dan pelajar miskin dengan menyediakan tempat kediaman, bimbingan agama, akhlak serta kemudahan pendidikan percuma.