Sabah terus catat jangkitan tertinggi
Kuala Lumpur: Jangkitan baharu Covid-19 dalam negara mencatatkan 82 kes baharu semalam menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 10,769 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 82 kes baharu yang dilaporkan itu, tiga kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan bakinya 79 kes penularan tempatan.
Beliau berkata, kes import itu membabitkan dua individu warga negara dan satu bukan warga negara.
Bagi 79 kes penularan tempatan, katanya, sebanyak 53 kes membabitkan warga negara manakala 26 bukan warga negara.
“Kes baharu Covid-19 hari ini (semalam) mendapati Sabah kekal tertinggi iaitu 64 kes membabitkan kluster Bangau-Bangau, kluster Benteng LD selain tiga kes saringan bergejala, satu kes saringan di pintu masuk, satu kes di Klinik Kesihatan Tawau dan satu kes kemasukan ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas.
“Selain itu, Negeri Sembilan mencatatkan tiga kes, dua daripadanya kes saringan pulang dari Sabah dan satu kes saringan ke luar negara,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, Selangor turut mencatatkan dua kes, Terengganu dua kes, masing-masing satu kes bagi Pahang, Melaka, Johor, Sarawak dan Labuan.
“Sebanyak 89 kes yang pulih hari ini (semalam), menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 9,785 kes iaitu 90.7 peratus.
“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 851 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini, lapan pesakit positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Dalam pada itu, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) setakat 12 tengah hari, semalam.