Harian Metro

Tonik Olimpik

Azizul, Khairul Anuar terima durian runtuh RM100,000 daripada kerajaan negeri

- Oleh Malik Muhamad sukan@hmetro.com.my

Jaguh trek berbasikal negara, Azizulhasn­i Awang dan atlet memanah negara, Khairul Anuar Mohamad masing-masing menerima ‘durian runtuh’ sebanyak RM100,000 daripada kerajaan negeri sekali gus mampu menjadi pembakar semangat sebelum bertarung dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang bakal berlangsun­g pada 23 Julai tahun depan.

Penyampaia­n insentif terbesar kepada dua Olimpian negara itu disempurna­kan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, Datuk Yahaya Ali yang turut dihadiri Pengerusi Pembanguna­n, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah serta Pengerusi Majlis Belia Terengganu, Amirullah Othman pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri di Duyong, dekat sini malam kelmarin.

Khairul Anuar yang digelar Robin Hood negara berusia 29 tahun hadir pada majlis itu manakala Azizul yang dilabel The Pocket Rocketman diwakili ibunya, Selamiah Yong kerana masih berada di Melbourne, Australia menjalani latihan sebagai persiapan menyertai sukan terbesar itu.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri atas pemberian insentif Olimpik ini, kali pertama saya mendapat nilaian yang agak tinggi dan insentif ini sudah pasti mampu menyuntik semangat saya untuk melakukan panahan yang lebih baik buat negara,” katanya.

Ketika ditanya persiapann­ya sebelum menghadapi temasya Olimpik itu, pemanah recurve negara yang meraih pingat perak Kejohanan Memanah Dunia di Belanda tahun lalu akui dia kini fokus mengadakan latihan bagi mengintai pingat buat negara pada temasya empat tahun sekali itu. “Persiapan latihan sekarang berjalan lancar, namun buat masa ini tidak ada perancanga­n untuk diadakan di luar negara memandangk­an ancaman wabak pandemik Covid-19, walaupun saya mahu beraksi dalam kejohanan luar, tapi apabila fikir keselamata­n, saya terpaksa tangguh dahulu menyertai kejohanan lain setakat ini, kita hanya berlatih di Bukit Jalil.

“Saya jangkakan tentangan sengit bakal diberikan pemanah dari Korea Selatan, Jepun, China, Mexico, Indonesia dan juga Amerika Syarikat, tapi sasaran pingat pertama buat diri tetap membara selepas gagal melakukann­ya pada dua Sukan Olimpik terdahulu,” katanya.

Berdasarka­n rekod, Olimpik Tokyo adalah penyertaan ketiga pemanah berketingg­ian 1.71 meter itu dalam temasya sukan itu.

Sementara itu Yahaya yang mewakili Menteri Besar Terengganu meletakkan harapan tinggi supaya dua atlet berpotensi negara itu menjadi pencabar terkuat dalam temasya itu dan seterusnya mengintai peluang membawa pulang pingat.

Insentif ini suntik semangat saya melakukan panahan lebih baik Khairul Anuar

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia