Harian Metro

Aniaya frontliner

Petugas hadapan jadi sasaran penipuan pakej hotel mewah

- Oleh Nurul Hidayah Bahaudin nurul.hidayah@ hmetro.com.my

“Saya tidak sangka bilik hotel mewah pada harga murah ditawarkan mereka adalah satu penipuan kerana banyak tawaran lain kepada petugas barisan hadapan untuk penghargaa­n kepada kami.”

Begitu kata Shima, 30-an, petugas sebuah hospital di Pulau Pinang yang menjadi mangsa penipuan pakej penginapan dipercayai didalangi sepasang suami isteri.

Shima berkata, dia sebelum itu mengetahui mengenai pakej berkenaan melalui mesej di dalam kumpulan WhatsApp rakan setugas pada 20 Jun lalu.

“Saya menghubung­i wanita yang dikatakan sebagai pengendali pakej penginapan itu dan menempah bilik di tiga hotel mewah di lokasi berasingan.

“Dia (wanita itu) mendakwa pakej berkenaan boleh ditempah pada tarikh terbuka sehingga 2022 dengan bayaran RM792.

“Apa yang menyebabka­n saya tertarik membuat tempahan kerana kadar harga bilik hotel mewah ditawarkan iaitu antara 50 hingga 80 peratus lebih murah berbanding harga asal yang didakwa sebagai promosi khas kepada petugas barisan hadapan,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Shima berkata, dia tidak berdepan sebarang masalah pada tempahan di dua hotel mewah masing-masing di Pulau Langkawi, Kedah dan Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, berikutan itu dia membuat satu lagi tempahan di sebuah hotel mewah di ibu kota dengan bayaran RM3,000 kepada wanita berkenaan. “Bagaimanap­un, saya dimaklumka­n oleh rakan bahawa mereka ditipu agensi berkenaan yang diusahakan pasangan suami isteri terbabit apabila tidak diberikan nombor tempahan sebaik tiba di hotel berkenaan. “Disebabkan itu, saya cuba menghubung­i si isteri untuk mendapatka­n penjelasan namun dia tidak dapat dihubungi dipercayai sudah mematikan telefon bimbitnya.

“Malah, saya ada menghantar mesej ke akaun media sosial suaminya, namun mereka sudah menyekat akaun saya,” katanya.

Katanya, dia amat kecewa dengan suami isteri itu kerana perancanga­n untuk menyambut hari lahir di hotel mewah berkenaan bersama keluarga pada bulan hadapan tidak kesampaian selain kerugian lebih RM3,000.

“Saya dimaklumka­n ramai lagi rakan sekerja (petugas kesihatan) yang turut menjadi mangsa penipuan suami isteri ini.

“Sejujurnya, saya amat kecewa kerana menyangka tawaran harga bilik hotel mewah yang murah itu adalah tanda penghargaa­n kepada keringat kami, namun ia sebenarnya hanya helah sindiket penipuan,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Jelutong, Pulau Pinang.

Harga bilik hotel mewah ditawarkan 50 hingga 80 peratus lebih murah Shima

 ??  ?? SHIMA kerugian RM3,000 untuk tempahan kali ketiga.
SHIMA kerugian RM3,000 untuk tempahan kali ketiga.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia