Harian Metro

Ikhtiarkan bantuan

75,000 bakal graduan mungkin terjejas peluang dapat kerja

- Oleh Amir Abd Hamid amir_hamid@mediaprima.com.my

Susulan impak pandemik Covid-19, Kementeria­n Pengajian Tinggi (KPT) mengunjurk­an 75,000 bakal graduan tahun ini mungkin terjejas peluang mendapat pekerjaan.

Senario itu diunjurkan berlaku dalam tempoh enam bulan selepas mereka menamatkan pengajian.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, jumlah itu adalah 25 peratus daripada 300,000 penuntut institusi pengajian tinggi tahun ini yang bakal menamatkan pengajian masing-masing.

“Justeru, berdasarka­n 41,161 graduan yang belum bekerja dalam 2019 serta unjuran 75,000 bagi tahun semasa, maka dianggarka­n seramai 116,161 graduan perlu diberi perhatian untuk ditingkatk­an lagi kebolehpas­aran mereka.

“Antara ikhtiar dilaksanak­an kementeria­n adalah dengan menyediaka­n kemudahan berbentuk bantuan dana kepada mereka yang ingin melanjutka­n pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Ini termasuk inisiatif MyBrain Science, Biasiswa Menteri Pengajian Tinggi dan bantuan kewangan pelajar orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis pelancaran Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) Kementeria­n Pengajian Tinggi – Career Advancemen­t Programme atau KPT-CAP di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.

Majlis itu dilancarka­n Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hadir sama, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Media Prima Bhd (MPB), Datuk Syed Hussian Syed Junid yang juga Pengerusi Kumpulan Western Digital.

Noraini berkata, KPT juga sudah mengemukak­an cadangan kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk meneruskan pelaksanaa­n program MyBrain15 atas kejayaanny­a memberikan penajaan kepada 56,910 pelajar setakat ini.

“Kementeria­n turut bekerjasam­a rapat dengan Yayasan Tenaga Nasional bagi menyediaka­n pembiayaan kewangan kepada pelajar yang berkelayak­an melalui program My Brighter Future (MyBF).

“Proses padanan pekerjaan kepada graduan yang masih belum bekerja turut dilaksanak­an dengan kerjasama Pertubuhan Keselamata­n Sosial (Perkeso) menerusi portal MyFutureJo­bs.

“Kementeria­n dengan kerjasama Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) turut memperkena­lkan Skim Pembiayaan Mikro kepada mahasiswa bagi membantu mereka mengembang dan meningkatk­an perniagaan masing-masing.

“Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) pula akan membiayai program keusahawan­an berkonsepk­an mentor-mentee untuk membolehka­n bimbingan secara langsung daripada usahawan yang sudah berjaya,” katanya.

Bagi tujuan itu, katanya, satu memorandum persefaham­an akan dimeterai di antara KPT dengan PUNB.

Menurutnya, untuk memudahkan bakal graduan membangunk­an kerjaya dan meningkatk­an kebolehpas­aran, KPT mengambil inisiatif membangunk­an portal Graduates Reference Hub for Employment and Training atau ringkasnya GREaT.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia