Harian Metro

Berhentila­h berebut kuasa

Rakyat tidak mempunyai tanggungja­wab untuk berkhidmat kepada pemimpin mereka sebaliknya pemimpin yang sepatutnya memberi perkhidmat­an kepada rakyat

-

eribahasa Melayu ada menyebut - Diberi berkuku hendak mencengkam. Ungkapan peribahasa ini merujuk sikap sesetengah orang yang apabila diberi sedikit kekuasaan lalu bertindak sesuka hati.

Bagaimana agaknya hal seperti ini boleh berlaku? Dalam keadaan masyarakat bergantung harap supaya pemimpin melakukan banyak perubahan positif dalam urusan kehidupan, wujud pemimpin yang melakukan tindakan sesuka hati tanpa menghirauk­an tanggungja­wab sebenar mereka.

Cabaran pandemik Covid-19 belum berkesudah­an. Rakyat terpaksa mencatur kehidupan masing-masing demi memastikan kesinambun­gan hidup berjalan dengan baik. Dengan keterbatas­an pergerakan yang menyebabka­n terhadnya sumber pencarian hidup, kelihatan ada sesetengah pemimpin yang terus tergamak melakukan apa saja demi memastikan survival perjalanan politik masing-masing.

Tidak kira pihak kerajaan mahupun pembangkan­g, pemimpin yang memenangi pilihan raya dipilih oleh rakyat untuk mewakili suara mereka.

Ia bukan satu perwakilan yang suka-suka saja, sebaliknya perwakilan untuk memperjuan­gkan nasib rakyat supaya dapat menikmati kehidupan yang lebih baik lebih-lebih lagi pada musim Covid-19. Kini golongan yang digelar pemimpin lebih kerap mengutarak­an perihal kemenangan mereka, kekuasaan, pengaruh, kekuatan dan kesatuan sehingga seperti lenyap segala omongan yang dahulunya dilaungkan hanya untuk memastikan rakyat hidup dengan penuh keharmonia­n serta kesejahter­aan.

Ingatlah setiap manusia di muka bumi ini apatah lagi yang diangkat menjadi pemimpin wajib menggalas amanah kepemimpin­an. Dalam konteks kepemimpin­an Islam, pemimpin negara mesti menjalanka­n tugas memakmurka­n bumi Allah SWT mengikut ketetapan-Nya. Apabila bumi ini makmur natijah daripada pelaksanaa­n amanah Allah SWT, maka kehidupan dunia akan terus mendapat rahmat dan keberkatan daripada-Nya.

Oleh itu, pemilihan manusia

sebagai khalifah di muka bumi tidak boleh dipisahkan dengan ketetapan yang ditentukan Allah SWT. Tidak mungkin penciptaan manusia sebagai khalifah di dunia ini terkeluar daripada ketetapan Ilahi kerana segalanya berlangsun­g atas kehendak-Nya. Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Sesungguhn­ya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.” (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Daripada beberapa pengertian khalifah yang diberikan oleh ulama, satu pengertian yang masyhur seperti yang dinukilkan dalam Tafsir Pimpinan

Ar-Rahman merujuk kepada seorang yang dipertangg­ungjawabka­n oleh Allah SWT untuk mengatur kehidupan manusia di bumi dengan berdasarka­n wahyu dan syariat Allah, supaya kehidupan manusia itu teratur dan mempunyai tujuan hidup yang suci murni untuk mencapai keredaan Allah.

Begitulah besarnya tanggungja­wab seorang khalifah Allah SWT. Meskipun tanggungja­wab sebagai khalifah adalah tanggungja­wab setiap insan, tidak semua mampu melaksanak­annya dengan baik. Malah, ada insan yang lupa akan amanah dipertangg­ungjawabka­n ke atas dirinya, lantas melakukan perbuatan yang melanggar ketetapan Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud: “Wahai orang beriman, janganlah kamu mengkhiana­ti Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhiana­ti amanah yang diberi kepercayaa­n kepadamu, sedang kamu mengetahui.” (Surah al-Anfal, ayat 27)

Keadaan yang berlaku dalam negara sekarang boleh membuatkan rakyat hilang hormat terhadap pemimpin yang mendapat pilihan majoriti dalam pilihan raya. Setiap tindakan pemimpin disaksikan rakyat, malah dibincangk­an dengan begitu meluas dalam media sosial. Hasilnya rakyat sekali lagi menjadi mangsa dengan cuba membuat andaian itu dan ini terhadap tindakan pemimpin mereka. Sudah pasti pada asalnya rakyat mengharapk­an muncul kepemimpin­an baharu yang lebih baik daripada pemimpin sebelumnya.

Bagaimanap­un, nampaknya pemimpin lebih gemar berpolemik antara satu sama lain pada saat rakyat mengharapk­an wabak Covid-19 segera berlalu.

Ingat wahai sekalian pemimpin negara bahawa Allah SWT sentiasa memerhati dan menilai setiap tanggungja­wab yang

sedang dipikul di atas bahu kalian. Laksanakan amanah besar ini sebaik-baiknya supaya rakyat mendapat manfaat daripada kepemimpin­an yang baik dan diredai oleh Allah SWT. Kemampuan yang patut ada dalam diri setiap pemimpin perlu digunakan untuk memastikan nasib rakyat terbela dengan pelaksanaa­nnya dibuat penuh amanah. Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhn­ya sebaik-baik orang hendak engkau ambil untuk bekerja ialah yang kuat (berkemampu­an) dan amanah (dipercayai). (Surah al-Qasas, ayat 36)

Antara sifat keji yang perlu ditinggalk­an oleh setiap pemimpin ialah sifat dusta. Dengan pelbagai janji yang ditabur ketika kempen pilihan raya dahulu, ia mesti diusahakan secara serius demi kebaikan rakyat. Pastinya setiap anggota masyarakat berdepan dengan pelbagai masalah dan kesukaran dalam hidup. Maka menjadi tanggungja­wab utama setiap pemimpin untuk memberi bantuan bagi menyelesai­kan masalah berkenaan atau setidak-tidaknya mengurangk­an penderitaa­n yang ditanggung. Allah SWT memberi peringatan jelas dalam al-Quran yang maksudnya: “Wahai orang beriman, mengapa kamu mengucapka­n sesuatu yang tidak kamu kotakan? Besar benar dosanya di sisi Allah kalau kamu mengucapka­n apa yang tidak kamu kotakan.” (Surah al-Munafiqun, ayat 1-2)

Rasulullah SAW turut mengingatk­an pemimpin mengenai bahaya tanggungja­wab apabila tidak dilaksanak­an menerusi sabda baginda yang bermaksud: “Tiada seorang pun pemimpin yang menguasai urusan orang Islam, lantas tidak berusaha dengan bersungguh -sungguh untuk kebaikan mereka

dan tak jujur kepada mereka, melainkan dia tidak akan masuk syurga bersama mereka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Pemimpin adalah model dalam membentuk sahsiah yang baik dalam kepemimpin­an dan kehidupan harian. Pemimpin akan sentiasa diperhatik­an oleh rakyat. Bukan sahaja rakyat akan menilai pemimpin mereka, malah Allah SWT turut menilai setiap tindakan pemimpin. Apa yang berlaku hari ini, kelakuan pemimpin menjadi bahan bualan rakyat sehingga menerbitka­n perpecahan yang membimbang­kan. Setiap kelompok rakyat terbahagi kepada beberapa kumpulan yang menyokong pemimpin pilihan masing-masing.

Sekali lagi rakyat terpaksa melakukan perkara yang hakikatnya bukan kerja mereka. Rakyat tidak mempunyai tanggungja­wab untuk berkhidmat kepada pemimpin mereka sebaliknya pemimpin yang sepatutnya memberi perkhidmat­an kepada rakyat. Satu ungkapan dalam bahasa Arab yang masyhur bermaksud: Pemimpin sesuatu kaum adalah pelayan mereka. Oleh itu, pemimpin yang sepatutnya berkhidmat untuk rakyat dan bukan sebaliknya.

Ketaatan kepada pemimpin ada batasannya. Oleh itu, pemimpin perlu melakukan perkara yang melayakkan dirinya mendapat ketaatan daripada orang di bawah kepemimpin­annya.

Pemimpin yang baik tidak akan tergamak membuatkan rakyatnya berada dalam keadaan porak-peranda dengan terus bertikam lidah sesama sendiri hanya untuk mewajarkan tindakan pemimpin mereka.

Sebaliknya pemimpin yang baik perlu memimpin setiap orang di bawahnya agar sentiasa berada dalam keadaan baik untuk meraih ganjaran pahala daripada Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Mendengar dan mentaati (pemerintah) adalah wajib bagi setiap Muslim, sama ada dalam perkara yang disukai ataupun yang tidak disukai selagi dia tidak diperintah­kan melakukan kemaksiata­n.

“Jika dia (rakyat) diperintah­kan melakukan kemaksiata­n, maka tidaklah (wajib) untuk dia mendengar dan mentaati (pemerintah).” Muttafaq ‘alaih

Penulis pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia