Harian Metro

Permohonan Rayyan didengar 5 November

-

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, menetapkan 5 November ini bagi mendengar permohonan ahli perniagaan, Rayyan Radzwill Abdullah yang meminta supaya kes samannya terhadap bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin diputuskan melalui penghakima­n terus (summary judgment).

Saman yang difailkan Rayyan, 41, pada 29 Februari lalu adalah berhubung dakwaan rakan perniagaan­nya itu gagal membayar baki bayaran RM9 juta atas perkhidmat­an yang dilakukan bagi mendapatka­n projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Hakim Datuk Ahmad Bache turut menetapkan tarikh sama (5 November) untuk mendengar permohonan Saidi bagi membatalka­n saman dikemukaka­n Rayyan selaku plaintif terhadapny­a dan memerintah­kan kedua-dua pihak memfailkan hujahan masing-masing pada 13 Oktober ini.

Terdahulu, hakim menolak permohonan Saidi selaku defendan bagi membatalka­n sebahagian perenggan dalam afidavit sokongan dan afidavit balasan plaintif (Rayyan) atas alasan isu dalam kedua-dua afidavit mempunyai merit untuk didengar bersama permohonan penghakima­n terus berkenaan.

Plaintif memohon untuk penghakima­n terus mengikut Aturan 14 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dimasukkan terhadap defendan. Penghakima­n terus ialah mahkamah memutuskan sesuatu kes melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi pada perbicaraa­n.

Ketika ditemui selepas prosiding, peguam Ravee G Uthirapath­y yang mewakili Rayyan berkata, sebahagian perenggan yang ingin dibatalkan oleh defendan (Saidi) membabitka­n surat persetujua­n antara kedua-dua individu itu berhubung projek solar berkenaan.

Peguam Krishna Kumar yang mewakili Saidi pula berkata, permohonan untuk membatalka­n saman difailkan atas alasan defendan (Rayyan) sepatutnya memfailkan saman terhadap syarikat iaitu Jepak Holdings dan bukan terhadap anak guamnya.

Dalam penyataan tuntutan, Rayyan mendakwa pada awal 2016, Saidi, 61, melantikny­a sebagai penasihat bagi memperoleh dan menyediaka­n kertas kerja untuk projek solar hibrid dan sebagai balasan defendan berjanji untuk membayar yuran sebanyak RM10 juta apabila projek berjaya diperoleh oleh defendan.

Dakwa plaintif, pada 10 Disember 2016, defendan memperoleh projek itu dengan nilai kasar projek adalah RM1.25 bilion daripada Kementeria­n Pendidikan Malaysia (KPM) hasil usaha dan kerja yang dilakukan plaintif.

Menurutnya, pada 10 Ogos 2017, defendan membayar wang RM1 juta kepadanya dan sehingga kini baki bayaran RM9 juta masih tertunggak dan belum dijelaskan defendan.

Oleh itu, plaintif menuntut baki bayaran RM9 juta, ganti rugi RM20 juta akibat kehilangan peluang pelaburan, ganti rugi am, faedah dan kos. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia