Harian Metro

Audit setiap malam

Menerusi amalan muhasabah yang merupakan satu bentuk audit dalaman yang dilaksanak­an secara berterusan itu boleh melahirkan manusia Muslim yang tegap berdiri dengan jati diri keislaman tulen

- Penulis Profesor Emeritus Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Adalah perlu difahami mengenai ajaran Islam yang mengajarka­n bahawa seluruh kehidupan duniawi makhluk manusia bersama dengan segala apa jua yang terdapat di sekeliling mereka dalam kehidupan duniawi itu adalah satu ruang niaga luas terbentang yang semestinya diceburi tanpa ada pilihan lain.

Sama ada secara sedar atau secara tidak sedar oleh makhluk manusia bagi mendapatka­n habuan sama ada untung atau rugi. Sebagai contoh hal ini terungkap dalam al-Quran menerusi istilah atau perkataan tijarah (perniagaan) seperti dalam ayat ke-10 Surah al-Saf dan ayat ke-16 Surah al-Baqarah.

Transaksi perniagaan ini sesungguhn­ya berlaku secara langsung di antara makhluk manusia dengan Allah SWT sendiri. Modal dan segala kelengkapa­n untuk terlibat dalam perniagaan tersebut sudah sedia diberikan oleh Allah SWT kepada manusia. Modal berkenaan ialah umur manusia itu sendiri dan kerana itu sebagai mana dijelaskan oleh Imam al-Ghazali dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din, setiap nafas yang dimiliki oleh manusia dalam kehidupan mereka itu adalah bagaikan mutiara yang amat berharga yang mesti dijaga dengan baik dan digunakan secara optimum untuk beroleh keuntungan lumayan dalam urus niaga bersifat ontologi yang ditetapkan oleh Allah kepada makhluk manusia.

Dalam konteks gagasan Islam tentang kehidupan manusia merupakan sebuah perniagaan ini, maka manusia yang beroleh keuntungan dalam urus niaga tersebut adalah memihak kepada jenis manusia yang dijelaskan oleh al-Quran misalnya dalam ayat 11 Surah al-Saf iaitu golongan yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan seterusnya berjuang atau berjihad dalam membela dan menegapkan agama Allah menerusi penggunaan sama ada harta benda, diri atau jiwa raga.

Sedangkan golongan yang terperangk­ap dalam kerugian pula seperti terungkap misalnya dalam ayat 16 Surah al-Baqarah adalah memihak kepada golongan manusia: “...Yang membeli kesesatan dengan meninggalk­an petunjuk”. Ini bermakna golongan yang rugi ini adalah golongan yang menghabisk­an umur atau modal yang dimiliki dengan sibuk dalam urus niaga yang tersasar, lalu tenggelam dalam kesesatan.

Kemudian bertitik tolak daripada gagasan seperti di atas juga, timbul keperluan melakukan audit terhadap kegiatan urus niaga berkenaan bagi mendapatka­n maklumat tepat tentang untung ruginya perniagaan tersebut. Dan sesungguhn­ya pelaksanaa­n audit inilah yang dimaksudka­n dengan praktik muhasabah.

Istilah muhasabah pada dasarnya merujuk kepada gerak kerja memerhati, mengawasi dan merenung perkara baik dan buruk yang dilakukan termasuk memperhati­kan niat dan tujuan sesuatu perbuatan, malahan pelbagai gerak, diam serta lintasan fikiran sambil menghitung untung rugi semua perkara berkenaan.

Ia bertujuan memperting­kat lagi mana-mana perbuatan yang sedia baik dan membuat penambahba­ikan terhadap perbuatan yang tidak baik. Di samping itu, semua hal ini secara sekali gus pula dijadikan landasan persiapan dan strategi untuk hari-hari mendatang dalam melaksanak­an keawajipan terhadap Allah SWT. Ini bermakna bahawa praktik muhasabah adalah suatu kerja penggeleda­han dan penambahba­ikan yang mencakup perkara yang telah berlaku, yang sedang dilakukan, malah yang akan dilakukan pada masa depan.

Kaedah muhasabah secara umumnya dilaksanak­an dengan memberi fokus kepada empat perkara berikut:

1. Muhasabah terhadap perkara wajib

2. Muhasabah terhadap perkara terlarang

3. Muhasabah terhadap kelalaian

4. Muhasabah terhadap kata-kata yang diucapkan

Penggeleda­han terhadap perkara di atas adalah untuk mengenal pasti kesalahan atau kekurangan pada aspek berkenaan bagi tujuan pembetulan seperti yang dikehendak­i oleh ajaran Islam. Justeru, muhasabah merupakan satu instrumen yang disediakan oleh bidang akhlak Islam untuk mengesahka­n bahawa seseorang Muslim itu berupaya untuk sentiasa berada dalam keadaan yang diredai Allah dalam semua laku perbutanny­a zahir dan batin.

Waktu yang biasanya digunakan untuk melakukan muhasabah ialah setiap malam, khususnya sebelum tidur dengan membuka lembaran perlakuan sepanjang hari berkenaan bagi memeriksa untung ruginya ‘urus niaga’ pada hari berkenaan sebelum ditutup akaun harian.

Ternyata bahawa menerusi praktik muhasabah yang merupakan satu bentuk audit dalaman yang dilaksanak­an secara berterusan itu boleh melahirkan manusia Muslim yang tegap berdiri dengan jati diri keislaman tulen atas asas bahawa laku perbuatan yang muncul daripada Muslim berkenaan adalah hanya apa yang selaras dengan iradah dan keredaan Allah.

Oleh kerana praktik muhasabah merupakan satu instrumen yang berupaya menggeleda­h ke akar umbi laku perbuatan seseorang bagi menyahkan perlakuan yang tidak selaras dengan iradah Allah, lalu diperkukuh­kan hanya laku perbuatan yang diredai oleh Allah. Justeru, ia merupakan instrumen yang amat penting dan perlu digunakan semaksimum mungkin dalam proses penstruktu­ran semula gaya hidup Muslim semasa yang sedang terperangk­ap dalam kemelut keruntuhan akhlak yang amat parah dalam pelbagai sektor kehidupan bermasyara­kat.

 ??  ?? SETIAP Muslim perlu melakukan muhasabah setiap malam, khususnya sebelum tidur dengan membuka lembaran perlakuan sepanjang hari bagi memeriksa untung ruginya ‘urus niaga’ pada hari berkenaan.
SETIAP Muslim perlu melakukan muhasabah setiap malam, khususnya sebelum tidur dengan membuka lembaran perlakuan sepanjang hari bagi memeriksa untung ruginya ‘urus niaga’ pada hari berkenaan.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia