Harian Metro

2 sahabat berdepan tali gantung

Tukang masak, pemandu lori didakwa dua pertuduhan edar lebih 200kg dadah 1 Februari lalu

- Dziyaul Afnan Abdul Rahman am@hmetro.com.my

Dua sahabat yang juga tukang masak serta pemandu lori berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa mengedar lebih 200 kilogram (kg) dadah di Mahkamah Majistret di sini, semalam. Tertuduh, Sukhon Ewon, 40, dan Fazeri Din, 51, hanya mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.

Bagaimanap­un, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-duanya.

Mengikut pertuduhan, Sukhon bersama seorang yang masih bebas dikenali sebagai Amnat Ratsamee, 25, didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu kanabis anggaran berat 100kg dalam kereta Proton Persona di sebuah rumah di Jalan Kilang Gula, Kampung Batu Bertangkup, Mata Ayer pada jam 7.10 pagi, 1 Februari lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Fazeri dan Sukhon bersama Amnat yang masih bebas dituduh mengedar dadah berbahaya iaitu kanabis dengan anggaran berat 150,150 gram (150.15kg) pada jam 7.55 pagi, tarikh sama di lokasi serupa.

Dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalik­an Inspektor Mohd Zulfadzli Salehen dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar, manakala Fazeri diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim dan Syed Saifulizan Syed Abd Razak.

Sukhon bagaimanap­un tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 13 April depan untuk sebutan semula kes.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia