Harian Metro

Lapan ingkar PKP di restoran dicekup

-

Lapan lelaki ditahan polis ketika berjudi dan minum kopi dalam sebuah restoran beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Selasa lalu.

Serbuan dilakukan jam 1 tengah hari oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bentong.

Ketua Polis Daerah Bentong Superinten­dan Zaiham Mohd Kahar berkata, serbuan dijalankan susulan maklumat dan aduan diterima daripada orang awam.

“Apabila sampai di lokasi ada empat lelaki mengelilin­gi satu meja dan leka berjudi manakala berhampira­n meja berkenaan ada empat lelaki minum kopi.

“Empat lelaki dikompaun mengikut kesalahan Perkara 16 (1) Peraturan-Peraturan

Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Empat lelaki lain bermain judi ditahan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Menurutnya, semua lelaki tempatan itu berusia antara 49 tahun hingga 79 tahun.

Katanya, pihaknya turut membuat rampasan wang tunai sebanyak RM311 bersama buah mahjung, cip pelbagai saiz dan warna, dadu dan kertas putih.

“Pada hari sama, kita memeriksa sebuah kedai di sini, jam 8.15 malam dan mendapati seorang lelaki tempatan minum minuman keras.

“Tindakan diambil kepada lelaki itu kerana ingar arahan dengan melanggar SOP PKP dan juga pemilik kedai kerana membenarka­n pelanggan duduk makan atau minum di dalam kedai,” katanya.

Semua yang ditahan berusia dari 49 tahun hingga 79 tahun

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia