Ubah premis snuker jadi pusat judi
Kuala Lumpur: Ubah suai premis snuker di Taman Cahaya, Ampang Jaya di sini, menjadi pusat kegiatan judi dalam talian.
Itu antara kegiatan sindiket perjudian yang diserbu polis jam 7.15 petang kelmarin, sebelum empat individu termasuk dua penjaga premis diberkas.
Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata, dua penjaga premis membabitkan seorang lelaki Bangladesh berusia 25 tahun dan seorang wanita Indonesia berusia 26 tahun ditahan dalam serbuan itu.
Katanya, dua lelaki tempatan masing-masing berusia 39 dan 51 tahun yang juga pelanggan premis turut diberkas ketika sedang melakukan pertaruhan di dalam premis berkenaan.
“Hasil risikan mendapati premis itu adalah tempat sukan snuker namun ia tidak beroperasi sejak pelaksanaan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama.
“Premis itu kemudian diambil alih oleh penyewa tidak dikenali dengan membuka pusat perjudian dalam talian sejak pertengahan bulan Januari. Kegiatan itu dipercayai aktif sejak tiga minggu lalu,” katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas lima unit komputer riba dan enam tablet komputer di ruang hadapan premis yang dipercayai digunakan untuk perjudian.