Harian Metro

Ceroboh hutan simpan tanam pokok ketum

-

Tiga lelaki ditahan Jabatan Perhutanan Kelantan kerana menceroboh hutan simpan dengan menanam ratusan pokok ketum sejak dua tahun lalu membabitka­n keluasan lebih satu hektar di Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Terah, Gua Musang.

Semua lelaki berusia 25 hingga 33 tahun itu ditahan di sebuah rumah usang kira-kira jam 10 pagi kelmarin, susulan maklumat awam dan risikan yang dibuat jabatan berkenaan dengan dibantu Pasukan Operasi Bersepadu Khazanah.

Pengarah Perhutanan Kelantan Abdul Khalim Abu Samah berkata, sebaik tiba di lokasi berkenaan, pihaknya mendapati terdapat dua suspek berada di rumah usang sedang tidur dan disyaki khayal dadah selain terdapat sebuah motosikal.

Menurutnya, pihaknya juga menjumpai selaras senapang buatan sendiri dan tiga butir peluru hidup.

“Siasatan mendapati, suspek menjalanka­n aktiviti dilarang iaitu menceroboh hutan dengan tujuan penanaman pokok ketum selain pokok durian dan getah.

“Suspek juga berada dalam hutan simpan kekal tanpa sebarang kebenaran sah daripada Jabatan Perhutanan Kelantan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, sebaik pemeriksaa­n selesai, tiba-tiba seorang lelaki menunggang motosikal datang ke lokasi berkenaan sebelum ditahan.

“Suspek mendakwa memasuki kawasan berkenaan untuk mencari dua lagi suspek yang sudah ditahan. Ketiga-tiga mereka itu kemudianny­a dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.

“Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 47(1) dan 81(1) Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia