Harian Metro

GIGIT ANAK TIRI!

Budak perempuan empat tahun maut disyaki didera

- Oleh Mohd Amin Jalil am@hmetro.com.my

Helah seorang lelaki membawa seorang anak tirinya ke klinik kerana mengalami kekejangan terbongkar selepas dia ditahan kerana disyaki mendera kanak-kanak perempuan berusia empat tahun itu sehingga maut dalam kejadian pada 1 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superinten­dan Anuwal Ab Wahab berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pada 9 Februari lalu jam 10 malam di hadapan balai polis ketika menunggu isteri dan seorang lagi anak tirinya berumur sembilan tahun yang dipanggil memberi keterangan.

Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai pemandu lori simen itu ditahan selepas pendedahan abang mangsa kepada polis bahawa adiknya kerap dipukul bapa tirinya itu.

“Pada malam kejadian, abang mangsa mendengar bunyi kuat seperti pukulan dan suara menangis dalam bilik tidur bapa tirinya.

“Pada waktu Subuh pula, mangsa dikatakan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terus dibawa ke klinik.

“Bagaimanap­un, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia setibanya di klinik walaupun diberi bantuan pernafasan,” katanya, semalam. Mengulas lanjut, Anuwal berkata, polis menerima laporan daripada doktor bertugas di Klinik Kesihatan Gemas mengenai seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia, 1 Februari lalu.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan terdapat kesan lebam di pergelanga­n tangan serta kedua-dua belah kaki di selain kesan gigitan di badan mangsa manakala tiga tulang rusuk kirinya patah.

“Pakar gigi dari Hospital Kuala Lumpur juga mengesahka­n terdapat tiga kesan gigitan gigi dewasa iaitu di tangan kanan, bahu kanan dan pergelanga­n tangan kanan si mati. Forensik mengesahka­n punca kematian adalah disebabkan kecederaan di kepala akibat benda tumpul,” katanya.

Anuwal berkata, suspek juga didapati positif dadah jenis methamphet­amine selain mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes curi.

“Suspek kini direman bermula 10 Februari lalu hingga Selasa depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

“Punca kematian adalah disebabkan kecederaan di kepala akibat benda tumpul Anuwal

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia