Harian Metro

7 VAKSINATOR, 600 LOKASI

Seramai 126,000 penerima bakal disuntik vaksin dalam sehari mulai 26 Februari ini

- Oleh Mohamed Farid Noh farid_noh@bh.com.my

Dijangka 126,000 rakyat negara ini disuntik vaksin sehari menerusi Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 bermula 26 Februari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, seramai tujuh vaksinator (petugas menyuntik vaksin) akan disediakan di setiap 600 lokasi vaksinasi yang ditetapkan di setiap lokaliti seluruh negara.

Katanya, tujuh vaksinator itu akan menyuntik vaksin Covid-19 kepada maksimum 30 penerima setiap hari, ini bermakna bagi setiap lokaliti seramai 210 penerima vaksin akan disuntik.

“Kerajaan menyasarka­n menyuntik seramai 126,000 penerima vaksin sehari mulai 26 Februari ini dengan fasa pertama penerimany­a adalah golongan barisan hadapan iaitu anggota Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawa­n Malaysia (Rela) selain beberapa kategori lagi yang ditetapkan kerajaan.

“Semua yang akan divaksin termasuk barisan hadapan perlu mengisi dokumen khas yang sama ada dimuat turun di aplikasi MySejahter­a atau dihantar petugas khas seminggu sebelum mereka dijadualka­n mengambil suntikan vaksin.

“Semua yang akan divaksin juga akan mempunyai jadual waktu masing-masing bagi mengelakka­n kesesakan di lokasi vaksinasi dan penerima juga tidak perlu menunggu lama termasuk untuk mengisi borang kerana ia sudah disiapkan lebih awal, ” katanya.

Beliau berkata demikian selepas operasi bersepadu KKM, PDRM dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) ke penempatan pekerja warga asing di kawasan industri Senai di sini, semalam.

Bulan lalu, Dr Adham dilaporkan berkata, Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 negara akan bermula penghujung bulan ini dengan sejuta vaksin dari Pfizer-BioNTech akan diagih dan disuntik bagi fasa pertama.

Kerajaan dilaporkan akan memberi vaksin secara percuma kepada semua rakyat untuk sasaran 80 peratus penduduk atau bersamaan 26 juta individu.

Sementara itu, Dr Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, fasa kedua Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 dimulakan Mac ini.

“Fasa kedua akan terus bermula Mac ini, tanpa perlu menunggu proses vaksin fasa pertama yang bermula 26 Februari ini yang dijangka selesai April nanti.

“Bagi penerima vaksin fasa kedua, ia membabitka­n penerima warga emas berusia 60 ke atas serta golongan rentan yang menghidap penyakit kronik termasuk diabetes dan darah tinggi, ” katanya.

Dalam perkembang­an lain, Dr Adham menafikan berlaku kelewatan dalam pengagihan vaksin Covid-19 kepada rakyat seperti anggapan sesetengah pihak.

“Pengagihan vaksin adalah mengikut jadual dan tidak berlaku kelewatan kerana Malaysia sudah pun mendapatka­n vaksin berkenaan secara rasmi dari pembekal ditetapkan kerajaan,” katanya.

Mengulas mengenai vaksin untuk pekerja warga asing pula, Dr Adham berkata, kerajaan akan turut memberi vaksin percuma kepada pekerja warga asing terutama yang bertugas di sektor penting terutama kesihatan.

“Ada warga asing yang menetap di Malaysia bekerja sebagai doktor, ahli farmasi dan pergigian selain pekerja sektor lain terutama perkilanga­n dan pembinaan.

“Bagaimanap­un, kita akan mengutamak­an rakyat tempatan dahulu sebelum meneliti warga asing bekerja dalam sektor berisiko lain,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia