Harian Metro

‘KALAU HUJAN DAH BOLEH LENA’

Lelaki OKU lega dapat kediaman baharu ganti rumah usang

- Oleh Balqis Jazimah Zahari am@hmetro.com.my

“Syukur ada orang bantu bina rumah baharu. Selepas ini kalau hujan kami sekeluarga boleh tidur lena,” kata seorang bapa berstatus orang kurang upaya (OKU) yang kudung tangan kanan, M Ramachandr­a, 39.

Bapa dua anak itu berkata, mereka sekeluarga terharu sebaik menerima berita mendapat bantuan bagi merobohkan rumah lama yang usang untuk digantikan dengan kediaman lebih selesa.

“Minggu lalu mereka beritahu rumah dirobohkan hari ini (semalam) dan kami bawa keluar semua barang untuk menumpang di rumah mentua sementara menunggu rumah baharu siap dibina.

“Sebelum ini, kami tidak dapat tidur semalaman kalau hujan lebat kerana atap bocor di sana sini,” katanya ketika ditemui di lokasi rumah yang akan dirobohkan di Taman Aman Baru, Mambang Diawan di sini, semalam.

Ramachandr­a berkata, dia sekeluarga sebelum ini tinggal di tapak rumah milik mentuanya itu selama tiga tahun.

Menurutnya, dia sukar mendapat pekerjaan tetap sejak terbabit kemalangan di kilang tempat kerjanya, 12 tahun lalu.

“Saya hanya buat kerja kampung, sudah merata saya cari kerja, tetapi tak dapat, mereka kata cacat susah nak bagi kerja.

“Apabila rumah siap, sekurang-kurangnya dapatlah isteri dan anak tinggal di rumah yang ada bilik dan lebih selesa berbanding sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, kerja meroboh rumah lama dimulakan semalam oleh anggota bomba dengan kerjasama penduduk setempat.

Pegawai Operasi MyFundActi­on Cawangan Perak Wan Khadijah Wan Sulong berkata, projek Rumah Impian di bawah MyFundActi­on berkenaan dilakukan dengan kerjasama kontraktor dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Keadaan rumah memang sangat daif, atap bocor dan boleh diterbangk­an angin jika ribut kuat, selain lantai pecah teruk dan berdinding­kan zink.

“Kita roboh dan bina semula rumah baharu yang ada dua bilik dan satu bilik air dengan kos keseluruha­n dianggarka­n RM60,000.

“Rumah ini dijangka siap dalam tempoh sebulan,” katanya

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar Meor Mohd Ali Meor Hussien berkata, kerja operasi merobohkan dapat diselesaik­an dalam tempoh setengah jam sahaja.

“Rumah ini tidak selamat diduduki, hari ini (semalam) tujuh anggota kita merobohkan rumah ini dalam tempoh singkat dan selepas siap nanti kami membantu kerja akhir seperti mengecat,” katanya.

Kos bina rumah baharu Ramachandr­a dianggarka­n RM60,000

 ??  ?? RAMACHANDR­A dan keluarga di hadapan rumah yang diroboh di Taman Aman Baru, Mambang Diawan.
RAMACHANDR­A dan keluarga di hadapan rumah yang diroboh di Taman Aman Baru, Mambang Diawan.
 ??  ?? ANGGOTA bomba merobohkan rumah Ramachandr­a untuk digantikan dengan rumah baharu.
ANGGOTA bomba merobohkan rumah Ramachandr­a untuk digantikan dengan rumah baharu.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia