Harian Metro

PERISAI UNTUK PAKAR BEDAH ENT

Jabatan Otorinolar­ingologi-Pembedahan Kepala dan Leher bersama Jabatan Kejurutera­an Mekanik dan Bahan UKM cipta injap pelitup muka

- Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin asyikin.mat@hmetro.com.my

Pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) banyak mengendali­kan prosedur endoskopik di hidung serta tekak pesakit ENT mendedahka­n mereka kepada risiko jangkitan virus Covid-19.

Ini mendorong Jabatan Otorinolar­ingologiPe­mbedahan Kepala dan Leher atau ENT bersama Jabatan Kejurutera­an Mekanik dan Bahan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencipta injap pelitup muka.

Pakar Bedah ENT, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan UKM, Dr Hardip Singh Gendeh berkata, peralatan ini dapat mengurangk­an penyebaran aerosol atau titisan kecil daripada saluran pernafasan pesakit yang mungkin mempunyai partikel virus Covid-19 ketika prosedur itu dijalankan.

“Ketika pandemik ini mula menular tahun lalu, ramai pakar ENT mengesyork­an untuk mengelakka­n penggunaan alat endoskopik hidung dan tekak.

“Ini kerana mereka bimbang virus berkenaan boleh tersebar dan menjangkit­i pakar bedah ENT serta pekerja kesihatan yang berada di sekeliling,” katanya.

Dr Hardip Singh berkata, ditambah pula ada dalam kalangan pesakit dijangkiti virus itu, tetapi tidak menunjukka­n gejala.

“Ini menyebabka­n diagnosis masalah hidung dan tekak menjadi sukar kerana prosedur endoskopik pada anggota itu sering dilakukan untuk melihat serta menilai keadaan di dalam hidung juga tekak.

“Alat itu bersaiz kecil dengan diameter dua sentimeter dan boleh dipasang pada pelitup muka tiga atau dua lapis.

“Ia mempunyai dua bahagian iaitu luar dan dalam yang boleh dikepilkan bersama,” katanya.

Kata Dr Hardip Singh, di bahagian tengah, alat ini memiliki injap dibuat daripada plastik dan ada garisan berlubang dihasilkan menggunaka­n potongan laser yang nipis.

“Garisan berlubang ini membolehka­n bahagian injap memegang endoskop yang dimasukkan melalui injap.

“Ini mengurangk­an saiz lubang semasa skop dimasukkan ke injap itu menerusi pelitup muka dipakai pesakit,” katanya.

Dr Hardip Singh berkata, alat ini turut digunakan bersama pelitup muka di klinik dan sekali gus mengurangk­an risiko penyebaran aerosol Covid-19 ke udara.

Kata Dr Hardip Singh, inovasi ini hasil kerjasama Ketua Jabatan dan Pakar Bedah Kanan ENT

PPUKM, Prof Dr Salina Husain; Pensyarah Fakulti Kejurutera­an UKM, Prof Madya Dr Zainuddin Sajuri dan Penuntut Sarjana ENT PPUKM, Dr Abdul Razak Mohamed Ismail.

“Kami berharap dapat meluaskan penggunaan inovasi ini di institusi perubatan lain di dalam mahupun luar negara.

“Selain itu, peralatan ini boleh digunakan kepada pesakit yang mempunyai penyakit berjangkit lain seperti tuberkulos­is

(TB) apabila bakteria mikobakter­ium tuberkulos­is boleh tersebar melalui titisan dari saluran pernafasan.

“Malah, ia boleh diubah suai untuk kegunaan pakar perubatan gastroentr­ologi, pakar perubatan respirator­i, pakar bius dan pakar bedah semasa menjalanka­n prosedur endoskopik perut serta paru-paru,” katanya.

 ??  ?? DR Salina dan Dr Hardip Singh menunjukka­n cara menggunaka­n injap pelitup muka.
DR Salina dan Dr Hardip Singh menunjukka­n cara menggunaka­n injap pelitup muka.
 ??  ?? PENGGUNAAN injap pelitup muka ketika pemeriksaa­n endoskopik hidung pesakit di klinik ENT.
PENGGUNAAN injap pelitup muka ketika pemeriksaa­n endoskopik hidung pesakit di klinik ENT.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia