Harian Metro

Pernah tinggal seminggu bersama reptilia berbisa

-

Kuala Lumpur: “Saya sayangkan semua haiwan tetapi lebih ‘cintakan’ ular kerana minat dan terdedah dengannya sejak usia tujuh tahun.

“Malah, saya pernah tidur seminggu bersama ular berbisa,” ujar pemain ular, Ayu Wan Gira Pengiran Jakaria, 29.

Dia yang menetap di Kampung

Laya Laya, Tuaran, Kota Kinabalu, Sabah, berkata, minatnya terhadap ular bermula sejak berusia tujuh tahun lagi.

Dia berkata, bapanya, Pengiran Jakaria Pengiran Lida, 56, memberi galakan sehingga dia memiliki keberanian bermain ular dan menjadikan reptilia itu sebagai haiwan peliharaan.

Malah, dia yang mesra dengan panggilan Manja berkata, minatnya itu menyebabka­n dia mendapat jolokan nama ‘Ratu Ular’ selain undangan mengadakan pertunjuka­n sekitar Sabah hingga ke Indonesia.

“Salah satu cabaran pernah dilakukan adalah tinggal bersama ular berbisa selama seminggu di Makassar, Indonesia.

“Saya akui banyak kali cedera akibat dipatuk ular, tetapi ia tidak membuatkan saya serik atau takut dengan haiwan berkenaan. Sebaliknya, saya sudah lali dan menganggap perkara itu sebagai lumrah kepada pemain ular,” katanya.

Menurutnya, dia kali pertama dipatuk ular pada seawal usia 12 tahun.

“Insiden itu berlaku sewaktu saya mahu menangkap ular sawa batik yang belum dijinakkan.

“Sebelum ini saya pernah memelihara 29 ekor ular namun kini hanya tinggal enam ekor sahaja berikutan selebihnya diserahkan kepada pihak berkuasa,” katanya yang mempunyai lesen untuk memelihara ular.

Menurutnya, suami, Riswan Rudi Taraweng turut memahami minatnya terhadap ular walaupun pada peringkat awal agak geli terhadap haiwan itu.

“Malah, anak-anak saya juga berani bermain ular terutama anak sulung. Semua ular ini diletakkan dalam bekas khas di rumah.

“Saya berharap anak-anak akan mewarisi minat saya ini kelak,” katanya yang kerap dipanggil membuat pertunjukk­an.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia