Harian Metro

RM10k melayang jika langgar SOP

-

Kuala Lumpur: Kompaun sehingga RM10,000 boleh dikenakan terhadap mana-mana individu jika didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam pencegahan dan kawalan Covid-19.

Berdasarka­n Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan kelmarin, kompaun terbabit akan berkuat kuasa pada 11 Mac depan.

Ketika ini, kompaun berjumlah RM1,000 dikenakan kepada individu atau syarikat.

Menerusi pindaan itu juga, syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan sama boleh dikenakan kompaun sehingga maksimum RM50,000.

Selain itu, orang ramai yang melakukan kesalahan Ordinan Darurat boleh ditahan manakala individu dijangkiti atau disyaki terkena jangkitan atau menjadi kontak pula boleh dipakaikan dengan peranti pengesanan.

Pemasyhura­n ordinan itu dibuat Yang di-Pertuan Agong selepas berpuas hati bahawa tindakan serta-merta dikehendak­i bagi meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 diwartakan susulan Proklamasi Darurat dikeluarka­n Yang di-Pertuan Agong, mengikut Perkara 150, Perlembaga­an Persekutua­n, 11 Januari lalu.

Kadar kompaun terbabit dinaikkan, susulan penggantia­n Seksyen 25 yang memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kesihatan atau mana-mana pegawai kesihatan yang diberi kuasa oleh Pendakwa Raya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia