Harian Metro

Kemasukan tanpa visa dibatalkan

-

Putrajaya: Kerajaan sudah membatalka­n kemudahan kemasukan tanpa visa bagi pelancong China dan India menerusi Sistem Maklumat Pendaftara­n Pelancong Elektronik (eNTRI) serta-merta bagi mengawal risiko penularan Covid-19.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sekatan kemasukan pelancong dan warga asing dari negara berisiko tinggi juga diteruskan.

“Perkara ini adalah salah satu dasar penting bagi mengawal kemasukan warga asing dan penularan Covid-19 ke Malaysia pada masa depan,” katanya ketika menyampaik­an amanat tahun barunya secara langsung di Facebook.

“Untuk rekod, pelaksanaa­n eNTRI bagi pelawat China dan India memasuki Malaysia atas tujuan melancong atau sosial selama 15 hari mula dilaksanak­an 1 Mac 2016 buat pelancong China, sebelum diperluask­an kepada pelancong India pada 1 April 2017 dengan lanjutan dilaksanak­an secara tahunan mengikut keperluan,” katanya.

Harian Metro melalui laporan khasnya pada November 2018 mendedahka­n kemudahan eNTRI yang kononnya mampu menyaring pelancong dari China tidak menepati matlamat sebagai satu sistem saringan atau tapisan awal, sebagaiman­a diuar-uarkan.

Sebaliknya, kemudahan itu dikesan sekadar menyalurka­n wang secara mudah kepada sebuah syarikat yang diberi hak eksklusif oleh Kementeria­n Dalam Negeri (KDN) untuk menguruska­nnya sejak 2016.

Syarikat swasta itu diberi akses penuh untuk mengeluark­an eNTRI didapati membolot semua hasil kutipan fi iaitu RMB160 atau RM100 untuk satu permohonan tanpa sedikitpun menjadi hasil kerajaan.

Malah, urusan permohonan eNTRI secara dalam talian dilakukan sambil lewa dengan kelulusan dalam masa cuma lima minit dan aspek keselamata­n negara nyata diabaikan apabila individu yang disenarai hitam serta ada rekod jenayah turut diberi kelulusan masuk ke negara ini.

Wartawan yang ‘terbang’ ke negara Tembok Besar itu berjaya membuktika­n kelemahan sistem berkenaan yang mana hanya lima minit selepas permohonan dan fi dibayar, eNTRI meluluskan kemasukan seekor beruk sebagai pelancong ke Malaysia.

Untuk rekod, wartawan membuat permohonan eNTRI dengan menyertaka­n foto seekor beruk, nombor tiket palsu dan alamat sebuah agensi pihak berkuasa di Malaysia.

Susulan pendedahan eksklusif itu, Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera melancarka­n siasatan. Beberapa individu terdiri daripada pekerja syarikat, ahli politik turut disiasat dan didakwa, malah perbicaraa­n berkaitan kes itu masih sedang berjalan.

“Salah satu dasar penting bagi mengawal kemasukan warga asing Hamzah

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia