Harian Metro

994 KEBAKARAN

Bomba Selangor sibuk padam api sejak musim panas melanda

- Oleh Norzamira Che Noh am@hmetro.com.my

Musim panas yang melanda menyebabka­n anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor ‘sibuk’ menguruska­n 994 kes kebakaran terbuka di negeri ini sejak Januari hingga Rabu lalu.

Pengarahny­a Norazam Khamis berkata, kes kebakaran membabitka­n belukar dan lalang paling tinggi dilaporkan iaitu membabitka­n 464 panggilan.

“Ia diikuti kebakaran hutan (230 kes), sampah haram (225 kes) dan kebun serta ladang (75 kes). Jumlah keluasan kebakaran terbuka setakat ini adalah 8,140 hektar.

“Ia berpunca cuaca agak panas dan kering ketika ini, ada juga kes pembakaran terbuka berlaku di lokasi sama sebanyak tiga hingga empat kali contohnya di pinggir hutan.

“Buat masa ini, tiga kes kebakaran iaitu di pinggir Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, hutan gambut berdekatan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) di Cyberjaya serta tanah gambut di Jalan Nenas Meru yang berlaku pada Selasa dan Rabu lalu masih giat dipadamkan,” katanya selepas pelancaran Kempen Sanitasi Awam Kampus Management & Science University (MSU) di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati pembakaran haram yang berlaku di pinggir Hutan Simpan Kuala Langat Selatan dipercayai dilakukan secara sengaja oleh individu tertentu dan pihaknya akan membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, ketika ditanya berhubung suntikan vaksin Covid-19 terhadap anggota dan pegawai JBPM Selangor, Norazam berkata, lebih 900 daripada 1,700 kakitangan jabatan itu sudah didaftarka­n untuk fasa pertama suntikan manakala selebihnya untuk peringkat seterusnya.

“Buat masa ini, kita sedang menunggu Jabatan Kesihatan Negeri Selangor untuk memberikan tarikh dan lokasi bagi anggota serta pegawai terlibat menerima suntikan vaksin Covid-19,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia