Harian Metro

Pekerja kilang papan tidur di dapur

-

Pemeriksaa­n mengejut Jabatan Tenaga Kerja (JTK) ke atas asrama pekerja warga asing berdekatan Kawasan Industri Kulim di sini, semalam mengesan berlaku pelanggara­n peraturan apabila bahagian dapur dan ruang tamu rumah dijadikan tempat tidur.

Dalam operasi bermula 10 pagi semalam, dua asrama menempatka­n pekerja kilang papan dan membuat peralatan pejabat didapati melanggar Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, kemudahan asrama yang disediakan majikan sepatutnya mempunyai persekitar­an selamat dan kondusif untuk setiap pekerja berehat serta tinggal di negara ini.

Jelasnya, majikan mempunyai tanggungja­wab memastikan pekerja terutama warga asing mendapat kemudahan terbabit termasuk memastikan sistem kesihatan dan keselamata­n pekerjaan (OSH) dipatuhi.

“Dalam operasi hari ini (semalam), kita mengesan terdapat unit rumah kediaman yang dijadikan asrama pekerja warga asing tidak mematuhi Akta 446 dan prosedur operasi standard (SOP) menangani Covid-19 yang ditetapkan kerajaan.

“Antara kesalahan dilakukan adalah menempatka­n sehingga 30 pekerja dalam satu rumah selain menjadikan bahagian dapur dan ruang tamu sebagai tempat tidur sedangkan kawasan itu sepatutnya menjadi tempat mereka makan atau berehat,” katanya pada sidang media Operasi Bersepadu Khas Akta 446. Awang berkata, sejak 1 Februari lalu, pihaknya sudah memeriksa 3,652 majikan di seluruh negara membabitka­n 29,042 unit penginapan pekerja dengan 317 kertas siasatan dibuka sehingga kini.

“Di bawah Ordinan Darurat, kita akan terus melaksanak­an operasi penguatkua­saan pematuhan Akta 446 secara lebih agresif bagi memastikan majikan dan penyedia penginapan berpusat mematuhi peraturan ini.

“Kita memberi amaran keras bahawa tindakan tegas boleh diambil dan majikan boleh didakwa dan dikenakan denda sehingga RM200,000 atau penjara sehingga tiga tahun jika dikesan melakukan kesalahan ini,” katanya.

Sementara itu, Awang memaklumka­n Kementeria­n Sumber Manusia terpaksa menolak permintaan Master Builders Associatio­n Malaysia (MBAM) dan lima persatuan kontraktor lain yang meminta kerajaan menangguhk­an selama setahun pindaan terbaharu Akta 446.

“Kita faham semua pihak terkesan dari segi kewangan ketika ini, permintaan sektor pembinaan minta penangguha­n tidak dapat kita pertimbang, namun kita masih boleh berbincang.

“Kerajaan sedang ‘berperang’ dengan musuh yang tidak kelihatan (Covid-19), jadi kita mohon semua sektor beri kerjasama dan patuh undang-undang ditetapkan,” katanya.

MBAM dan lima persatuan kontraktor sebelum ini meminta kerajaan memberikan mereka masa bagi mematuhi pindaan Akta 446 berikutan kekangan kewangan akibat peningkata­n kos pembinaan serta kos pematuhan SOP Covid-19.

 ??  ?? AWANG (depan) meninjau keadaan rumah sewa yang dijadikan asrama untuk pekerja kilang.
AWANG (depan) meninjau keadaan rumah sewa yang dijadikan asrama untuk pekerja kilang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia