Harian Metro

TUNTUT GAJI SENDIRI!

PFAM gesa bekas pemain 3 pasukan ditutup bawa isu tunggakan ke mahkamah

- Oleh Firdaus Hashim firdaushas­him@hmetro.com.my

Persatuan Pemain Bolasepak Profesiona­l Malaysia (PFAM) mahu bekas pemain daripada tiga pasukan yang sudah ditutup iaitu Hanelang FC, Terengganu City FC (TCFC) dan Perlis FC tampil ke depan untuk mengheret isu tunggakan gaji ke mahkamah.

Pegawai Perundanga­n PFAM, Muhammad Azzairi Rosle berkata, tindakan berani bekas pemain dan pegawai Marcerra United dan Kuantan FA harus dicontohi oleh pemain lain khususnya daripada tiga pasukan yang sudah ditutup itu bagi keadilan dan hak mereka.

Jelasnya, tindakan pengurusan pasukan terbabit yang tidak menghormat­i kontrak pemain sesuatu yang mengecewak­an dan tidak sepatutnya berlaku.

“Kita harap apa yang Kuantan FA dan Marcerra United (bekas pemain) buat ini dapat dicontohi pemain-pemain pasukan lain yang pasukan dah tutup. Kalau saya boleh sebut pasukan seperti Perlis, Hanelang FC, TCFC untuk mara ke depan lakukan seperti apa yang dilakukan seperti pemain dan pegawai Marcerra dan Kuantan,” katanya.

Sebagai rekod, isu tunggakan gaji membabitka­n Hanelang FC, TCFC dan Perlis FC sudah berlanjuta­n hampir dua hingga tiga tahun tanpa ada tanda-tanda penyelesai­an.

Biarpun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah mengarahka­n tiga kelab terbabit membayar tunggakan hampir jutaan ringgit, namun ketiga-tiga kelab itu sudah pun gulung tikar dan ini menyukarka­n lagi bekas pemain dan pegawai untuk menuntut gaji mereka.

Berdasarka­n kenyataan FAM bertarikh 13 November 2018, Hanelang FC berhutang dengan 20 pemain dengan nilai keseluruha­n berjumlah RM1 juta.

Manakala bekas juara Piala FAM 2018, TCFC turut terpalit masalah sama yang menyaksika­n seramai 11 pemain menuntut hak mereka membabitka­n tunggakan RM321,700, sementara Perlis pula diarah membayar sehingga setengah juta pada tahun lalu.

Ujar Azzairi lagi, tindakan untuk mendakwa bekas majikan ke mahkamah sivil adalah jalan terakhir buat pemain selepas fasa di peringkat dalaman melalui FAM sudah dilakukan oleh PFAM sebelum ini.

“Untuk kita kalau ikutkan tugas PFAM kita dah selesaikan di peringkat FAM di mana fasa pertama kita dah selesaikan. Perjuangan ini diteruskan di peringkat seterusnya dan kita memang menyambut baik untuk bawa kes ini ke mahkamah dan ini sebenarnya satu penanda aras baharu sekiranya perkara ini berjaya,” katanya.

Ditanya peluang untuk menang di mahkamah sivil, beliau mengakui yakin ia boleh memihak kepada pemain dan pegawai sekiranya fakta berjaya dikemukaka­n.

“Saya tak boleh nak komen lebih, tapi berdasarka­n fakta saya yakin peluang untuk menang di mahkamah dan kita berharap peguam dapat betul-betul memastikan pemain dan pegawai dapat apa yang sepatutnya.”

Rabu lalu, bekas pemain Marcerra United dan Kuantan FA melantik peguam untuk membawa kes tuntutan gaji sejak 2018 lalu ke mahkamah sivil dengan pengurusan dua kelab itu diberi tempoh 14 hari untuk berbincang yang akan berakhir 10 Mac ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia