Harian Metro

Mengaku terima RM2,100

-

Seremban: Seorang pegawai imigresen semalam dipenjara 30 hari dan denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan menerima rasuah keseluruha­nnya berjumlah RM2,100 pada 2019 dan tahun lalu.

Hakim Madihah Harullah membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohd Shah Ezywan Abd Rahman, 34, mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Bagi setiap pertuduhan, Mohd Shah Ezywan didenda RM20,000 dan boleh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda selain mahkamah turut memerintah­kan tertuduh dipenjara 30 hari bagi kedua-dua pertuduhan yang dijalankan serentak.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Shah Ezywan yang merupakan Pegawai Imigresen gred KP19 memperoleh suatu benda berharga tanpa suatu balasan iaitu wang masing-masing berjumlah RM1,200 dan RM900 daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad cawangan Nilai pada 7 Julai 2019 dan antara 22 Mac hingga 19 Mei 2020.

Terdahulu, dalam prosiding pada 26 Januari lalu, Mohd Shah Ezywan yang ditahan dalam Op Selat mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan menerima rasuah mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (165KK) dan empat pertuduhan pengubahan wang haram yang berjumlah RM885,950.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia