Harian Metro

NAMPAK BOT ABANG TERBALIK

Dua beradik terkilan tak sempat selamat saudara kandung lemas ketika memukat di laut

- Oleh Baharom Bakar am@hmetro.com.my

“Saya terkilan tak dapat selamatkan abang,” kata Harun Mahmud, 62, adik mangsa lemas di pantai Teluk Ketapang, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi, sampan dinaiki mangsa, Mohd Mahmud, 75, terbalik ketika dia memeriksa pukat yang dipasang.

Harun berkata, dia bersama Mohd dan seorang lagi adik, Shamsuddin, 60, turun ke laut untuk menangkap ikan jam 8 pagi.

“Arwah mahu memasang pukat manakala saya dan Shamsuddin memancing di tepi pantai.

“Pada mulanya, arwah kembali ke pantai selepas setengah jam memasang pukat dan turun semula ke laut,” katanya ketika ditemui di tepi pantai Teluk Ketapang, semalam.

Menurutnya, dia kemudian melihat sampan mangsa terbalik ketika abangnya mengutip ikan pada pukat.

“Saya segera mengayuh bot gentian kaca sejauh 200 meter untuk menyelamat­kan abang. Abang tidak sedarkan diri ketika ditarik ke dalam bot,” katanya.

Katanya, abangnya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba tidak lama selepas itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Kuala Nerus, Yusmizan Yusof berkata, dua anggotanya melakukan rondaan di lokasi kejadian mendapati mangsa sudah dibawa naik ke pantai.

 ??  ?? JENAZAH Mohd Mahmud yang lemas selepas jatuh ke laut ketika memukat di Pantai Teluk Ketapang.
JENAZAH Mohd Mahmud yang lemas selepas jatuh ke laut ketika memukat di Pantai Teluk Ketapang.
 ??  ?? ISTERI mangsa, Zainab Embong tidak dapat menahan kesedihan dan memeluk jenazah suaminya di Pantai Teluk Ketapang, semalam.
ISTERI mangsa, Zainab Embong tidak dapat menahan kesedihan dan memeluk jenazah suaminya di Pantai Teluk Ketapang, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia