Penyerang Thailand mungkin rentas sempadan negara
Jeli:
Polis tidak menyangkal kemungkinan 15 individu penyerang yang diburu polis Thailand cuba memasuki Malaysia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata, berikutan kejadian serangan terhadap pasukan keselamatan Thailand pada Khamis lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa diingatkan supaya memperketatkan kawalan sempadan.
“Dalam kejadian di Thailand, kami tidak menolak kemungkinan mereka (15 penyerang) akan masuk.
“Sebarang kemungkinan boleh berlaku dan kawalan di sempadan dipertingkatkan,” katanya selepas melawat tapak pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli baharu di sini, semalam.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa
Mohamed dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.
Media sebelum ini melaporkan dua anggota renjer maut manakala seorang lagi rakan mereka parah dalam letupan bom paip dan insiden berbalas tembakan di kampung di Ra-ngae, Narathiwat di selatan Thailand, malam Khamis lalu. Ketua Polis Ra-ngae, Piyapak Thongpanlertkun, berkata dalam kejadian jam 6.50 pagi (waktu tempatan) itu, 16 anggota renjer yang berehat di dalam khemah selepas melakukan rondaan dikejutkan dengan beberapa letupan.
Beliau berkata, sekumpulan individu mula melontarkan bom paip buatan sendiri dan melepaskan tembakan ke arah khemah. Beliau berkata, siasatan polis mendapati kumpulan penyerang terdiri daripada sekurang-kurangnya 15 individu.
“Sebarang kemungkinan boleh berlaku dan kawalan di sempadan dipertingkatkan Abdul Hamid