Harian Metro

Ibu bapa kata okay

11,400 responden sokong pembukaan semula sesi persekolah­an

- Oleh Raja Noraina Raja Rahim rnoraina@hmetro.com.my

Rata-rata responden bersetuju untuk membenarka­n anak masing-masing memasuki prasekolah, tahun satu dan dua apabila sesi persekolah­an baharu bermula hari ini.

Keputusan berkenaan diperoleh berdasarka­n tinjauan pendapat dalam laman sosial Facebook dan Instagram Harian Metro (HM) setakat jam 12 tengah hari, semalam.

Tinjauan pendapat di Facebook yang bermula sejak kelmarin menerima undian daripada 18,400 responden.

Daripada jumlah itu, sebanyak 62 peratus atau 11,400 responden menyokong pembukaan semula sekolah untuk murid prasekolah, tahun satu dan dua manakala 38 peratus atau 7,000 tidak menyokong.

Selain itu, undian sama menerusi Instagram pula mendapati 59 peratus bersetuju dan 41 peratus tidak bersetuju.

Ia susulan pengumuman kerajaan bahawa sesi persekolah­an bagi murid prasekolah, tahun satu dan dua akan bermula hari ini, manakala murid tahun tiga hingga tahun enam dibenarkan hadir ke sekolah pada Isnin depan.

Dalam pada itu, HM turut meninjau pendapat orang ramai mengenai keyakinan mereka terhadap langkah pencegahan di sekolah sama ada mencukupi bagi mengekang penularan Covid-19.

Tinjauan pendapat di Facebook HM mendapati seramai 18,700 responden menyertai undian dengan 62 peratus bersetuju manakala selebihnya tidak bersetuju.

Manakala, tinjauan pendapat menerusi Instagram HM mendapati 69 peratus pelayar maya bersetuju manakala 31 peratus menjawab tidak.

Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan berkata, pembukaan sekolah hari ini memberi kelegaan kepada ibu bapa yang risau terhadap pembelajar­an anak ketika di rumah.

“Saya merayu semua ibu bapa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamata­n Negara (MKN) dan Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM) serta memberi kerjasama yang baik kepada pihak sekolah.

“Bagi pihak guru, saya percaya mereka sudah bersedia dari sudut fizikal, mental, emosi untuk memastikan sesi pengajaran dan pembelajar­an (PdP) berjalan lancar. Pengalaman yang dilalui sebelum ini akan memudahkan pelaksanaa­n PdP,” katanya.

Katanya, guru juga perlu mematuhi Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperas­ian Sekolah Dalam Norma Baharu 2.0 bagi memastikan aspek keselamata­n dan kesihatan guru serta murid terjamin.

Patuhi Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperas­ian Sekolah Dalam Norma Baharu 2.0

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia