Harian Metro

Fasa penting terakhir

Paling penting, yakin dan percayalah dengan usaha kerajaan melalui program imunisasi ini agar kita dapat memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19

- Noor Mohamad Shakil Hamed

Teruja, terharu dan lega. Itulah antara perasaan rakyat Malaysia ketika menyaksika­n detik bersejarah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 di negara ini pada 24 Februari yang lalu.

Ia sekali gus menandakan bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. Kita rasa teruja kerana menjadi saksi kepada program vaksinasi terbesar dalam sejarah negara ini.

Perasaan terharu muncul apabila melihat Perdana Menteri sendiri sanggup menjadi individu pertama yang menerima suntikan ini demi memberi keyakinan kepada seluruh rakyat supaya turut sama mengikuti jejak langkah beliau.

Jujurnya kita berasa lega apabila akhirnya negara dapat menerima vaksin yang ditunggu-tunggu untuk mencegah dan mengawal pandemik yang menghantui seluruh umat manusia.

Ironinya, selepas lebih setahun penularan wabak ini, akhirnya Malaysia kini boleh dikatakan berada dalam fasa terakhir melawan pandemik melalui vaksin yang dikenali sebagai Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech.

Program imunisasi kebangsaan bertemakan Lindungi Diri, Lindungi Semua ini dilaksanak­an dalam tiga fasa dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan membabitka­n kira-kira 500,000 orang.

Fasa 2 pula dari April hingga Ogos membabitka­n kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya (OKU) membabitka­n 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk Malaysia berumur 18 tahun ke atas baik warganegar­a mahupun bukan warganegar­a dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Ringkasnya, kita menjangkak­an program imunisasi yang sudah bermula ini boleh memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin menjelang Februari 2022.

Sejak kes pertama Covid-19 dilaporkan di negara ini pada 25 Januari 2020, pandemik yang menggegar seluruh dunia sudah menjangkit­i lebih 300,000 orang di negara kita selain mencatatka­n angka kematian lebih 1,000 orang.

Jelas sekali wabak ini mengubah keseluruha­n cara hidup kita dengan mencetuska­n trauma dan fobia dalam kalangan rakyat yang ‘dipaksa’ terperuk di rumah untuk satu jangka masa yang cukup panjang di samping perlu mematuhi pelbagai kawalan dan sekatan berpaksika­n prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dilazimi sebagai budaya dan norma baharu dalam kehidupan seharian.

Justeru, kehadiran vaksin ini sangat dinanti-nantikan dengan harapan kita boleh menamatkan ancaman pandemik sekali gus meneruskan kehidupan seperti biasa.

Untuk itu, rakyat perlu memikul tanggungja­wab bersama supaya pada akhirnya program imunisasi ini mencapai kejayaan yang dihasratka­n.

Paling penting, yakin dan percayalah dengan usaha kerajaan melalui program imunisasi ini agar kita dapat memutuskan rantaian penularan wabak.

Sebagai warganegar­a yang prihatin dan bertanggun­gjawab, segeralah mendaftark­an diri dan anggota keluarga yang layak menerusi aplikasi MySejahter­a bagi membolehka­n giliran penerimaan suntikan vaksin dapat ditentukan.

Pendaftara­n juga boleh dibuat melalui laman sesawang vaksincovi­d.gov.my dan talian hotline yang akan bermula pada 5 Mac depan, di samping pendaftara­n secara manual di klinik kesihatan dan hospital kerajaan.

Dalam hal ini juga, janganlah kita mudah terpengaru­h dengan dakyah serta tohmahan pihak tidak bertanggun­gjawab mengenai vaksin dan kita berharap sangat agar golongan antivaksin tidak mengganggu lagi usaha kerajaan ini.

Cukup-cukuplah mengeliruk­an dan meracuni pemikiran rakyat dengan fakta dan dalil yang tidak tepat.

Kita perlu yakin vaksin ini telah diluluskan setelah melalui pelbagai proses saringan dan uji kaji, sekali gus mengurangk­an kesan sampingan yang membimbang­kan.

Misalnya, kajian sekumpulan penyelidik di England membuktika­n, penerima vaksin Pfizer-BioNTech yang sudah menerima dua dos suntikan menunjukka­n tindak balas antibodi yang kuat, sekali gus memberi keyakinan amat tinggi terhadap keberkesan­an vaksin ini.

Malah, Jawatankua­sa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam juga sudah mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 ini adalah harus dan wajib diambil bagi golongan yang ditetapkan kerajaan.

Ironinya, usaha memberikan vaksin adalah antara ikhtiar yang bertepatan dengan maqasid syariah. Malah, lebih daripada 98 negara di dunia sudah memulakan program vaksinasi seperti ini.

Lantaran itu, harus diingat, suntikan vaksin ini bukan saja untuk perlindung­an diri sendiri, malah kita juga akan membantu melindungi ahli keluarga dan juga anggota masyarakat yang lain melalui cara memutuskan rantaian penularan wabak.

Pada masa sama, kita juga perlu meneruskan amalan norma baharu dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Harus diingat, gabungan suntikan vaksin dan pematuhan SOP akan menjadi senjata yang paling berkesan dalam memerangi dan menamatkan ancaman wabak ini.

Jadi bila sudah menerima suntikan, jangan pula kita alpa dan memandang ringan keperluan untuk mematuhi SOP yang berkuat kuasa.

Tuntasnya, kita sedang berada pada fasa yang cukup penting, iaitu fasa terakhir dalam melawan dan menamatkan ancaman pandemik Covid-19.

Justeru, sahutlah seruan kerajaan untuk mendaftar dan menerima suntikan dengan segera, sekali gus bersama-sama kita membantu memutuskan rantaian penularan wabak ini.

Semoga program imunisasi ini dapat menamatkan krisis kesihatan dan ekonomi yang sedang melanda negara. Yakinlah dengan program imunisasi, Lindungi Diri, Lindungi Semua.

Penulis pentadbir universiti dan penganalis­is isu semasa

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia