Harian Metro

Longgar syarat Orang Asli sertai Senoi Praaq

-

Ipoh: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal melonggark­an syarat fizikal dan kelulusan pengambila­n anggota khusus dalam kalangan Orang Asli untuk menganggot­ai Batalion Orang Asli atau Senoi Praaq Pasukan Gerakan Am (PGA).

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kelonggara­n itu bertujuan untuk menambah keanggotaa­n formasi itu di Batalion 3 dan Batalion 18 masing-masing di Bidor dan Pengkalan Hulu di sini yang disifatkan sebagai terdesak.

“Kami agak desperate (terdesak) mencari calon yang layak untuk sertai kedua-dua batalion terbabit. Saya faham minat yang ditunjukka­n Orang Asli untuk berkhidmat dalam PDRM cukup tinggi namun terdapat beberapa kekangan khususnya kelayakan fizikal dan kelulusan (akademik) mereka.

“Perkara ini sudah dibawa ke Jabatan Perkhidmat­an Awam (JPA) dan kami akan terus berunding dengan untuk melonggark­an syarat itu.

“Bagaimanap­un, kelonggara­n itu tidaklah bermakna kita akan memperoleh warga yang kualitinya kurang.

“Seperti yang kita tahu, Orang Asli ini nimble (lincah) dan agile (tangkas). Tidak (begitu) diperlukan seseorang yang berbadan tinggi serta sasa untuk penugasan di hutan kerana sifat nimble dan agile ini sudah memadai bagi pergerakan operasi ketika di hutan,” katanya ketika sidang media upacara penutupan Kursus Asas Konstabel Orang Asli PDRM Siri 1 2020 di Briged Utara PGA Ulu Kinta, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Prof Dr Juli Edo, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalath­rash Wahid dan Komandan Pusat Latihan PGA Superinten­dan Saifuddin Mohamed Nasir.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia