Timbalan Menteri nafi tuduhan ke luar negara ketika PKP
Kuala Lumpur:
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Santhara Kumar menafikan ke luar negara selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan akan membuat laporan polis berhubung tuduhan palsu itu yang dianggap berniat jahat serta mengelirukan rakyat.
Menerusi satu kenyataan media semalam, Santhara memaklumkan tindakan itu dibuat hasil perbincangan dengan peguamnya sebaik pulang ke negara selepas mendapati ada media tidak bertanggungjawab melaporkannya.
Sebaliknya, Santhara memaklumkan ke luar negara sebelum PKP diumumkan semula dan menafikan dirinya berulang alik ke Malaysia dan pulang untuk menghadiri sambutan Hari Wilayah seperti yang dinyatakan Ahli Parlimen Batu P Prabakaran menerusi hantaran di Facebook (Fb).
Menurut Santhara, sebelum ke luar negara, beliau sudah memohon cuti selama 55 hari bekerja kepada Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa bagi mendapatkan kelulusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui surat rujukan pada 3 Disember sebelum diluluskan pada 18 Disember.
Katanya, beliau juga mematuhi prosedur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) supaya memohon kebenaran untuk keluar negara (MyTravelPass) secara dalam talian pada 30 Oktober sebelum menerima kelulusan pada 2 November lalu.
“Saya ke luar negara pada 23 Disember selepas menghadiri mesyuarat dan menjalani kuarantin di New Zealand bermula 24 Disember hingga 9 Januari lalu.
“Tujuan saya keluar negara adalah bagi melawat anak-anak saya di New Zealand, khususnya yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang.
“Di samping itu, saya juga perlu melawat isteri yang mengalami masalah kesihatan namun saya tidak dapat hadir ke satu upacara keagamaan membabitkan anak kerana sibuk dengan tugas sebagai Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen,” katanya.
Menurut Santhara, sebagai Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen, beliau sentiasa menjunjung tinggi setiap arahan dan peraturan bagi pelantikannya dan sudah mengikuti semua proses dan prosedur yang ditetapkan.