SANGGUP JUAL BUAH PINGGANG
Lelaki jual organ RM15,700 langsai hutang kahwin
Seorang lelaki di kawasan penduduk miskin di pinggir Herat, bandar di barat Afghanistan sanggup menjual buah pinggang demi melangsaikan hutang perkahwinan.
Najbullah, 32, dilaporkan menjual organ badannya itu pada harga AS$3,875 (kira-kira RM15,700).
Dalam adat tempatan, lelaki perlu menyediakan sejumlah wang untuk mengahwini pasangan dan kegagalan melunaskan bayaran itu boleh menyebabkan si suami dibunuh.
The Telegraph melaporkan bimbang akan risiko itu menyebabkan Najbullah tiada pilihan selain daripada menjual buah pinggangnya.
Menurutnya, dia berbuat demikian kerana khuatir terhadap keselamatan keluarganya.
“Jika tidak dibayar ia boleh menyebabkan pergaduhan dan lapan orang mungkin terbunuh, jadi lebih baik saya menjual buah pinggang,” kata lelaki itu.
Buah pinggang itu dijual kepada hospital tempatan yang sering menjalankan pembedahan pemindahan organ berkenaan.
Seorang lelaki di Kabul menjadi penerima buah pinggang berkenaan dengan beberapa syarat dipersetujui bersama.
Namun, apa yang menyedihkan, selepas selesai pembedahan pemindahan organ itu, Najbullah masih tidak mampu untuk bekerja.
Malah, lelaki itu masih berhutang.
“Satu lagi buah pinggang saya masih sakit selepas pembedahan,” keluhnya.
Kebanyakan rakyat Afghanistan yang menjual buah pinggang adalah mangsa perang yang bekerja sebagai buruh.
Di Herat, tidak kurang daripada 32 individu daripada 150 keluarga mempunyai kesan luka pembedahan kerana menjual buah pinggang, kata seorang lelaki Ebrahim Hakimi.
Ada sekumpulan lelaki juga memiliki kesan luka pembedahan dengan kesan parut sepanjang 30 sentimeter di perut mereka.
Satu lagi buah pinggang saya masih sakit selepas pembedahan
Najbullah