GAMBARAN SUMPAH 2.0
Elly buktikan kemantapan vokal menerusi lagu balada Dusta Cinta sentuhan Aina Abdul
Lagu: Dusta Cinta Penyanyi: Elly Mazlein Komposer: Aina Abdul Lirik: Wan Zakaria Terbitan & edaran: Life Records Malaysia
Buat peminat setia pelakon, penyanyi dan pengacara, Elly Mazlein, tentunya lagu seperti Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan, Bungaku Bakawali, Pendita Penipu, Sabarlah Hati dan banyak lagi tidak lagi asing.
Walaupun mencipta nama dalam pelbagai cabang seni, peminat masih lagi dahagakan karya muzik terbaharu daripada penyanyi bersuara lunak ini.
Terbaharu, Elly yang mesra disapa dengan panggilan Kak Lina Pom Pom hadir dengan single berjudul Dusta Cinta hasil kolaborasi dengan komposer, Aina Abdul serta penulis lirik, Wan Zakaria.
Masih lagi mengekalkan muzik yang menjadi identitinya iaitu balada,
Elly mempertaruhkan lagu dengan jalan cerita yang berkisar mengenai permasalahan yang berlaku dalam sesuatu hubungan.
Tahun lalu, Elly tampil memberi kejutan bersama Faizal Tahir serta Zizi Kirana apabila memberi nafas baharu lagu Empat Dara. Namun, di situ bukanlah tempat untuk dia membuktikan kemampuan vokalnya.
Bagaimanapun, dalam Dusta Cinta, Elly membuktikan bahawa vokalnya masih lagi mampu menyaingi penyanyi lain sedia ada.
Kemantapan vokalnya masih jelas dan sengatnya masih berbisa sama seperti ketika lagu balada dendangannya meniti di bibir peminat muzik tanah air.
Kalau kita berbicara mengenai melodi Dusta Cinta, sedikit sebanyak ia mengingatkan saya kepada lagu Sumpah yang pernah mencipta fenomena oleh Aina Abdul.
Mungkin Aina sendiri menyuntik identiti muziknya kerana dalam beberapa perkongsian penyanyi dan komposer itu sebelum ini, Dusta Cinta adalah karya yang digambarkan sebagai Sumpah 2.0.
Jadi, tidak hairanlah melodinya kedengaran seperti ada kesinambungan untuk membawa ‘mood’ yang sama dari lagu Sumpah ke Dusta Cinta.
Satu lagi perkara yang mencuri perhatian adalah, bahagian korus kedua yang disampaikan dalam bahasa Korea. Siapa sangka, Elly mampu melantunkan setiap bait kata itu tanpa rasa kekok.
Tak mustahil sekiranya karya ini turut mencuri perhatian peminat muzik dari Korea Selatan atau mungkin akan dijadikan material untuk video reaksi di YouTube oleh YouTuber dari negara muzik Kpop itu.
Video muziknya juga adalah antara video muzik yang dinanti-nantikan memandangkan Elly sendiri kerap kali berkongsi potongan-potongan video serta gambar daripada sesi rakaman video muzik.
Tidak terlalu banyak ‘drama’, ia boleh dikatakan ringkas namun penuh bergaya.
Emosi yang disampaikan Elly menerusi lagu dan video muzik Dusta Cinta dapat dirasakan saat pertama kali menonton video yang dilancarkan pada 27 Februari lalu itu.
Sehingga artikel ini ditulis, Dusta Cinta sudah ditonton lebih 50,000 tontonan di YouTube dan jumlahnya semakin meningkat. Ia juga turut menerima reaksi dan respons positif daripada penonton.