JDT tak rela biar KDA FC ulangi duka 2017
Johor Bahru:
Mampukah Johor Darul Ta’zim (JDT) merangkul Piala Sumbangsih untuk musim keempat berturut-turut apabila sekali lagi bertemu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Jumaat ini.
Pastinya pertembungan buku dan ruas itu menyaksikan skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak mahu menebus kehampaan pada musim lalu selepas kali terakhir menidakkan JDT untuk menggenggam piala itu pada musim 2017.
Apapun, Benjamin Mora yang membimbing skuad Harimau Selatan sejak musim lalu dan membawa kejayaan buat skuad Harimau Selatan sudah tentu tidak rela melihat piala pertama yang dipertandingkan terlepas ke tangan KDA FC.
Malah, berita yang menyatakan Jonathan Herera pada awalnya akan menyertai skuad Harimau Selatan namun dipinjamkan ke kelab Liga Divisyen Pertama Argentina, Club Atlético Independiente juga tidak menjejaskan perancangan Mora untuk membuat persiapan mengharungi aksi pertama kempen liga elit domestik.
Jika pengganti Herera masih belum dimuktamadkan, skuad Harimau Selatan mungkin akan menggunakan khidmat bekas import KDA FC, Fernando Rodriguez untuk mengisi posisi serangan tatkala pemain itu beraksi bersama Johor Darul Ta’zim II (JDT II) yang juga pasukan feeder JDT.
Malah, skuad Mora dianggap serba lengkap pada musim ini apabila kelibat Safiq Rahim yang pernah bersama JDT sejak musim 2013 hingga 2018 dan kemudiannya berkelana ke Melaka United selama dua musim kembali menyertai skuad Harimau Selatan.
Kehadiran semula Safiq memberi impak positif dalam pasukan, malah pengaruhnya dalam skuad itu mampu menambah kekuatan terutama di posisi tengah.
Bagi pertembungan menentang KDA FC, Mora pasti sudah ada kesebelasan terbaik yang bakal diturunkan dan berusaha mempamerkan aksi konsisten walaupun terpaksa menjalani latihan pramusim di Johor selepas tidak dapat melakukan latihan itu di luar negara akibat pandemik Covid-19.
Apapun, JDT enggan kekecewaan pada musim 2017 berulang tatkala terlepas menggenggam Piala Sumbangsih selepas tewas kepada Kedah menerusi sepakan penalti.