Harian Metro

‘Biar saya pergi cari sendiri’

-

Beranang: “Kalau anak saya tidak datang berjumpa, tidak mengapa. Biarlah saya sahaja yang pergi mencari.

“Rezeki Allah SWT yang beri saya berjalan semula sejak tiga tahun lalu selepas bertahun-tahun terlantar mungkin untuk tunaikan hajat terakhir saya bertemu mereka,” luah Pak Din (nama samaran), 69, salah seorang penghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah.

Katanya, usaha mencari dua anaknya itu tidak membuahkan hasil meskipun banyak sudah dilakukan menerusi ahli keluarga, kenalan dan juga siaran akhbar.

“Mana ada bapa yang tidak sayangkan anak. Cuma saya banyak merantau mencari rezeki. Sekejap jadi kelindan lori, kemudian kerja di pasar dan selepas itu pula di restoran. Saya balik jumpa anak isteri sebulan atau dua bulan sekali.

“Gaji saya ikut kerja hari dan susah cuti. Isteri waktu itu tidak boleh terima keadaan itu dan meminta saya menceraika­n dia. Sejak itu bawa haluan masing-masing dan isteri bawa anak bersamanya,” katanya.

Tambah Pak Din, selepas berpisah dengan isteri, dia menghabisk­an banyak masa dengan bekerja sehinggala­h jatuh sakit secara mengejut pada tahun 2011.

“Saya kena serangan saraf dan lumpuh separuh badan. Saya dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur dan kemudian dipindahka­n ke pusat jagaan ini kerana tiada waris sanggup menjaga saya yang terlantar.

“Walaupun tidak tahu nasib ketika itu macam mana tetapi reda selain rasa lega ada juga tempat sanggup menerima saya. Ketika itu jugalah teringat pada anak. Kali terakhir bertemu anak sulung ialah pada usia dia 10 tahun sementara yang bongsu berusia enam tahun.

“Saya cuba tanyakan hal mereka menerusi keluarga di Teluk Intan dan tahu yang sulung sekarang berusia 27 tahun serta sudah berkeluarg­a. Dia juga menetap di Ipoh Perak. Seorang lagi berusia 23 tahun pula merantau ke Singapura,” katanya.

Kata Pak Din, selain tidak putus-putus berdoa, dia juga bertekad untuk sembuh selain cuba menghubung­i keluarga di kampung bagi ikhtiar mencari anak-anaknya.

 ??  ?? SUASANA sekitar Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah, Semenyih.
SUASANA sekitar Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah, Semenyih.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia