Harian Metro

USAH KENANG KISAH SILAM

Golongan ibu tunggal tabah hadapi dugaan tanpa suami

-

“Bila jadi ibu tunggal usah menoleh ke belakang lagi, jangan dikenang kisah silam.

“Kisah lampau itu jadikan pengalaman dan pengajaran, tanamkan niat murni dan rancang hala tuju kehidupan dengan baik… percayalah tuhan sentiasa ada bersama kita,” demikian luahan ibu tunggal Samsiah Othman, 46, sambil disokong oleh rakan-rakannya Noorhayati Yusof, 48, dan Noor Shakilah Abdullah, 53, yang juga senasib dengan beliau.

Memegang status ibu tunggal bukanlah sesuatu yang mudah di samping memikul tanggungja­wab besar sebagai ibu dan ayah untuk membesarka­n anak-anak.

Namun, biar apa pun rintangan yang dilalui, kasih sayang dan pengorbana­n seorang ibu sememangny­a tiada tolok bandingnya.

Bergelar ibu tunggal sejak 2014, Samsiah seorang bekas anggota tentera berkata, cabaran terbesar baginya adalah kekangan kewangan di samping membesarka­n seorang anak lelaki orang kurang upaya (OKU) yang menghadapi masalah autisme.

Wanita itu yang berkhidmat selama 21 tahun dengan jawatan terakhir sebagai ketua kerani berpangkat staf sarjan di Kementeria­n Pertahanan berkata, sepanjang bergelar ibu tunggal pelbagai pekerjaan sampingan dilakukan bagi menampung kehidupan serta permata hatinya, Amir Hamzah Ibrahim, 15.

“Macam-macam kerja saya buat untuk menampung kehidupan. Saya terpaksa buat kerja sambilan sebab banyak hutang dan komitmen, sukar jika hanya mengharap pada satu pekerjaan sahaja. Perbelanja­an bulanan hanya beli beras dan telur sahaja...hendak beli sayur bimbang tak cukup duit, sebab kena fikir untuk kegunaan lain yang lebih utama seperti perbelanja­an minyak motor dan kereta,” katanya.

Di samping mempunyai penyakit kencing manis dan saraf serta mendapatka­n rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Samsiah pada masa sama turut menyara bapanya yang uzur dan menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang dan sakit jantung.

Berpendapa­t masyarakat tidak seharusnya memandang serong terhadap status ibu tunggal, beliau berkata nasib setiap insan berbeza termasuk wanita yang terpaksa berdepan keretakan rumah tangga atau kematian suami sekali gus hilang tempat bergantung.

“Golongan ibu tunggal seharusnya diberikan sokongan moral dan semangat lebih-lebih lagi untuk mereka membesarka­n dan mendidik anak-anak menjadi insan berguna secara bersendiri­an,” katanya yang bersara pada 3 Mac lalu dan kini menjinakka­n diri dalam bidang membuat kuih tart serta menyertai beberapa aktiviti kemasyarak­atan di sekitar tempat tinggalnya.

Bagi koreografe­r, Noorhayati atau lebih mesra dengan panggilan ‘Why’, hidup sebagai ibu tunggal memang ada perit jerihnya kerana semua urusan terpaksa dilakukan seorang diri.

“Cabaran sebagai ibu tunggal sangat hebat hingga sampai tahap hendak menangis pun sudah tidak ada air mata lagi. Bukan senang hendak membesarka­n anak seorang diri, apa pun bagi saya itu adalah perjalanan hidup saya yang sudah ditentukan Ilahi jadi kena banyak redha,” luah ibu kepada tiga orang cahaya mata berusia 15, 23 dan 25 tahun itu.

Noorhayati yang lebih 12 tahun hidup sebagai ibu tunggal berkata golongan itu harus segera bangkit selepas diuji dengan kegagalan atau kehilangan serta penting untuk mereka mempunyai kerjaya sendiri.

“Tidak kira wanita muda, miskin, kaya bagi saya pelajaran dan kerjaya sangat penting. Wanita perlu ada pendapatan sendiri tidak kira ada suami atau tidak kerana inilah sebagai back up jika apa-apa berlaku dalam sesebuah rumah tangga.

“Semangat perlu tinggi, kaum hawa perlu kuat untuk menghadapi pelbagai cabaran dan apa yang utama, tetapkan niat sebenar... jika niat betul, yang baik pasti akan mengiringi kehidupan kita,” katanya.

Selain bekerja sebagai koreografe­r, beliau juga merupakan artis budaya yang mengajar ramai artis tempatan menari serta turut mengendali­kan syarikat pengurusan acara dan mempunyai kedai kostum.

Turut menerima tempias Covid-19 apabila syarikat dan kedai miliknya terjejas sepanjang pandemik, beliau bagaimanap­un tidak ‘duduk diam’ malahan membuat kuih seperti sagu gula melaka dan mengambil tempahan biskut raya.

Baginya, fokus utama adalah kerja dan tidak memikirkan hal remeh lain termasuk persepsi negatif masyarakat yang sesetengah­nya kurang senang dengan status ibu tunggal.

Turut berkongsi kisah, Noor Shakilah berkata kehidupan selepas pemergian suami tercinta memerlukan kekuatan dari sudut mental dan fizikal. “Nasib saya sedikit berbeza kerana kematian suami namun tetap memikul gelaran sama. Suami penghidap penyakit kencing manis dan kedua-dua kakinya terpaksa dipotong… sejak itu sayalah yang memikul tanggungja­wab sebagai ketua keluarga di samping menjaga dan membawa suami ke hospital.

“Rumah kami terletak di tingkat satu jadi saya akan memapah malah adakalanya mendukung suami naik tangga sampai ke rumah,” katanya yang kini tinggal bersama anaknya dan menjalanka­n perniagaan kuih karas serta bekerja di gerai nasi ayam penyet bagi menampung kehidupan. Sementara itu, Penasihat Persatuan Kebajikan Ibu Tunggal Syuhada, Aminah Hussin berkata, ibu tunggal harus bijak mencari platform untuk mengetenga­hkan kebolehan dan bakat yang ada dalam diri mereka.

Ini termasukla­h menceburka­n diri dengan persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dapat melatih ibu tunggal supaya bangkit, kembali yakin selain merebut pelbagai peluang untuk mengubah dan memajukan diri mereka.

“Pelbagai peluang dan bantuan disediakan oleh kerajaan dan NGO dalam membantu golongan ibu tunggal dan untuk itu mereka digalakkan mendaftar. Banyak kelebihan yang akan diperoleh sebagai contoh mengikuti kelas belajar membuat kek, kuih-muih dan jahitan yang akan diberikan secara percuma.

“Dengan berpersatu­an juga ibu tunggal berpeluang mengenal pasti kemahiran dan potensi yang dimiliki seterusnya membolehka­n mereka menjana pendapatan sendiri,” katanya.

Aminah pada masa sama berkata golongan ibu tunggal di luar bandar khususnya perlu ‘keluar dari kepompong’ dan memajukan diri melalui saluran sepatutnya.

“Nasihat saya kepada ibu tunggal di luar sana, aktiflah dalam persatuan, banyak peluang pekerjaan menanti apabila kita aktif. Ramai ibu tunggal di luar sana yang telah terbukti berjaya apabila mereka terus positifkan diri dan berubah kepada kehidupan lebih baik,” katanya sambil menambah Persatuan Kebajikan Ibu Tunggal Syuhada yang terletak di Taman Maluri, Cheras sudah melahirkan ramai ibu tunggal berjaya dalam pelbagai bidang termasuk pelanconga­n dan perniagaan.

“Golongan ibu tunggal seharusnya diberikan sokongan moral Samsiah

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia