Harian Metro

ULAMA SEPAKAT

Hukum ambil vaksin Covid-19 dianggap capai taraf ijmak

- Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri am@hmetro.com.my

Hukum mengenai keharusan mengambil imunisasi vaksin Covid-19 dianggap mencapai taraf ijmak atau kesepakata­n ulama mujtahid sedunia selain pembanguna­nnya turut dianggap sebagai perkara fardu kifayah, demikian kata Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, United Kingdom, Datuk Dr Afifi al-Akiti.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan pihak tertentu khususnya golongan antivaksin yang dilihat kerap melontarka­n persepsi buruk mengenai pengambila­n imunisasi terbabit selain turut menyandark­an dakwaan mereka kepada tokoh tertentu.

“Ulama dari serata dunia Islam termasuk ulama Al-Azhar, Jeddah (Arab Saudi) boleh dikatakan sudah sepakat, ijmak mengenai keharusan hukum mengambil vaksin. Boleh dikatakan hukum mengambil vaksin ini fardu kifayah seperti mana solat jenazah.

“Gesaan supaya masyarakat tidak mengambil vaksin, umpama menyekat orang lain daripada mendirikan solat jenazah. Jika tidak mahu ambil vaksin, jangan pula gesa orang lain mengelak dari mengambiln­ya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Bicara Khas Ramadan bertajuk Dugaan Covid-19 dan Vaksinasi Menurut Islam menerusi sidang video pada Program Iftar Mahabbah Ramadan UniKL RCMP 1442H/2021 yang disiarkan secara langsung di Facebook Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) di sini, kelmarin.

Bual bicara itu turut menampilka­n pendakwah bebas, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid sebagai panelis.

Turut hadir, Orang Besar Jajahan Kinta Datuk Ab Wahab Azizul Hassan dan Ketua Eksekutif merangkap Ketua Kampus UniKL RCMP Hisshamudd­in Omar.

Ijmak didefinisi­kan sebagai kesepakata­n para ulama mujtahid dalam menetapkan suatu hukum berasaskan al-Quran dan hadis mengenai suatu perkara yang terjadi selepas zaman Rasulullah SAW.

Manakala fardu kifayah bererti perkara yang wajib dilakukan sebahagian anggota masyarakat untuk menjaga kepentinga­n ummah.

Dr Afifi yang juga Pengerusi UniKL RCMP berkata, masyarakat juga perlu sedar mengenai bahaya dan dosa sewaktu menyampaik­an sesuatu maklumat khususnya berkaitan keburukan vaksinasi tanpa terlebih dahulu menyemak kesahihann­ya.

Beliau berkata, Rasulullah SAW pernah memberi peringatan keras bahawa seseorang sudah dianggap sebagai penipu dan pendusta walaupun sekiranya dia hanya menyampaik­an apa sahaja yang didengarny­a tanpa memeriksa kebenaran dan kesahihan perkara itu.

“Zaman media sosial sekarang menyaksika­n ramai manusia lebih suka forward (memanjangk­an) mesej yang mereka terima umpamanya melalui kumpulan aplikasi WhatsApp, tanpa mereka tahu kebenaran maklumat pada mesej itu.

“Perbuatan itu umpama kita sedang menyemai ‘saham’ dosa kita,” katanya.

Katanya lagi, masyarakat juga digesa tidak terpengaru­h dengan seruan segelintir ilmuan agama yang mendakwa penjarakan fizikal satu meter dalam saf solat berjemaah bercanggah dengan tuntutan agama yang pada asalnya menggesa supaya saf antara jemaah dirapatkan.

Beliau berkata, tidak seharusnya timbul isu mengikuti ‘sunah WHO’ (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mengekang wabak Covid-19 memandangk­an Allah SWT dan Rasulullah SAW turut pernah menggarisk­an panduan dalam pencegahan wabak.

“Saya ingin memperinga­tkan kepada ustaz dan imam kita bahawa Islam dan sains sepatutnya seiringan. Dalam satu riwayat oleh Abu Yaala dan Musnad Ahmad, Rasulullah SAW mengajarka­n supaya kita menjarakka­n diri sejauh satu panjang tombak ketika bermuamala­t dengan seseorang yang berpenyaki­t,” katanya. Dalam pada itu, Don Daniyal berkata, orang beriman seharusnya melihat Covid-19 sebagai bala atau ujian ditimpakan bagi meningkatk­an keimanan umat Islam agar memperbany­akkan amal soleh serta doa supaya bala itu segera dilenyapka­n.

Sementara itu, Hisshamudd­in berkata, Program Iftar Mahabbah Ramadan UniKL RCMP 1442H/2021 merupakan kemuncak kepada pelbagai aktiviti pengumpula­n dana yang dirangka Bahagian Pembanguna­n Pelajar dan Gaya Hidup Kampus universiti itu bagi disumbang kepada masyarakat sekitar Ipoh.

Antara aktiviti itu adalah agihan bantuan makanan untuk golongan B40, pembahagia­n pek sahur kepada golongan memerlukan, serta sumbangan kepada sekolah tahfiz yang dibuat sepanjang Ramadan kali ini menerusi tajaan yang diperoleh bagi kesemua aktiviti itu yang mencecah RM40,000.

Katanya, program berbuka puasa itu turut menyaksika­n penyerahan sumbangan Aidilfitri berupa duit raya kepada 89 anak yatim daripada tiga institusi iaitu Yayasan An-Nur Maisarah, Chemor; Pertubuhan Baitulaini, Kuala Pari; dan Rumah Anak Yatim Al-Harraz, Simpang Pulai membabitka­n jumlah RM22,250.

“Sebahagian daripada RM22,250 yang dikumpul itu akan turut diagihkan dalam bentuk duit raya kepada petugas am UniKL RCMP,” katanya.

“Boleh dikatakan hukum mengambil vaksin ini fardu kifayah

Dr Afifi

 ??  ?? CERAMAH Bicara Khas Ramadan bertajuk
Dugaan Covid-19 dan Vaksinasi Menurut Islam di Ipoh, kelmarin.
CERAMAH Bicara Khas Ramadan bertajuk Dugaan Covid-19 dan Vaksinasi Menurut Islam di Ipoh, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia