Harian Metro

Arus deras halang usaha selamat rakan

-

Seorang nelayan hilang dan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai apabila bot dinaiki terkena panahan petir dalam kejadian di muara Sungai Merbok, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kedua-dua mangsa keluar untuk menangkap ikan dari Jeti Pengkalan Bakar Arang, dekat sini, kira-kira jam 12 tengah malam.

Katanya, kira-kira jam 4 pagi ketika sedang memasang pukat di kawasan muara sungai itu iaitu kira-kira 300 meter dari pantai, bahagian hadapan bot tiba-tiba disambar petir menyebabka­n mangsa pengsan dan terjatuh ke dalam sungai.

“Rakannya terjun untuk menyelamat­kan mangsa, namun arus deras. Mangsa hanyut dan tidak dapat diselamatk­an manakala lelaki itu pula diselamatk­an nelayan dan dibawa ke Jeti Bukit Lintang, dekat sini, kira-kira jam 5 pagi tadi (semalam),” katanya dalam satu kenyataan.

Adzli berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.30 pagi dan usaha mencari mangsa oleh Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digerakkan ke lokasi kejadian. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia