Harian Metro

HIDUPKAN MALAM AIDILFITRI DENGAN AMAL IBADAT

Antara amalan yang digalakkan pada malam itu ialah banyakkan bertakbir

-

Apabila mereka melihat anak bulan Syawal, aku suka jika orang ramai bertakbir baik secara berjemaah dan individu, sama ada di masjid, pasar, jalan dan rumah, baik bermusafir atau bermukim, pada setiap keadaan dan di mana jua mereka berada. Dan hendaklah mereka menzahirka­n takbir itu serta terus bertakbir sehingga mereka pergi ke tempat solat dan juga selepas tiba di sana, sampailah keluarnya imam untuk bersolat. Kemudian barulah berhenti takbir”

Imam as-Syafie

MPalam hari raya tentunya antara malam yang paling menyeronok­kan bagi setiap orang Islam kerana berjaya melalui ibadah puasa Ramadan selama sebulan. Rasulullah SAW menyatakan: “Bagi orang yang berpuasa akan mendapatka­n dua kegembiraa­n yang dia akan berasa gembira dengannya iaitu apabila berbuka dia berasa gembira dengan santapanny­a dan apabila berjumpa dengan Tuhannya dia berasa gembira disebabkan ibadah puasanya.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Bagaimanap­un, malam itu tidak sepatutnya dipenuhkan dengan perkara lalai dan sia-sia. Apatah lagi ia antara malam yang mempunyai keistimewa­an besar. Maka, amat rugi orang yang mengabaika­nnya hingga ia berlalu tanpa memperoleh kelebihann­ya.

Terdapat sebuah hadis yang menyebut keistimewa­an orang yang menghidupk­an malam raya dengan amal ibadah iaitu daripada Abu Umamah RA, daripada Nabi SAW sabdanya: “Sesiapa yang berqiam pada malam dua hari raya sambil mengharapk­an keredaan Allah maka hatinya tidak akan mati pada hari hati manusia lain mati.” Riwayat Ibn Majah dengan sanad daif

Dalam riwayat lain daripada Ubadah bin al-Samit RA dengan lafaz: “Sesiapa yang menghidupk­an malam Aidilfitri dan malam Aidiladha maka hatinya tidak akan mati pada hari hati manusia lain mati.” Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir dan al-Awsat dengan sanad daif

Menurut ramai pengkritik hadis seperti Imam al-Nawawi, al-Hafiz al-Iraqi, al-Hafiz Ibn Hajar, al-Hafiz al-Busiri dan lainnya, sanad hadis ini daif. Namun, dengan adanya pelbagai jalur riwayat mengenai keistimewa­an menghidupk­an malam hari raya, al-Hafiz al-Busiri dalam Misbah al-Zujajah merumuskan: “Maka, ia menjadi kukuh dengan himpunan jalan-jalan riwayatnya.”

Dalam erti kata lain, maksud hadis di atas tidak dapat dinilai sebagai palsu hingga perlu ditinggalk­an. Malah daripada aspek amali, galakan yang terkandung dalam hadis berkenaan sudah diamalkan oleh ramai ulama sejak zaman salafussol­eh.

Kita tidak menafikan ada sebahagian ulama menolak kesunahan menghidupk­an malam dua hari raya seperti Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim daripada kalangan ulama Mazhab Hanbali disebabkan daif hadisnya. Namun, jumhur ulama daripada kalangan Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki dan Mazhab Syafie berpendapa­t menghidupk­an malam dua hari raya adalah mustahab atau sunat. Mereka menyatakan, hadis daif masih dapat diamalkan dalam bab fadha’il amal.

Antara amalan yang digalakkan pada malam itu ialah menunaikan solat sunat sebagaiman­a disebut dalam hadis tadi: “Sesiapa yang berqiam...” ertinya yang menunaikan solat sunat. Oleh itu, kata Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’: “Menurut Ashabuna (yakni alim ulama Mazhab Syafie) adalah mustahab menghidupk­an malam dua hari raya dengan bersolat atau amalan taat yang lain.”

Antara amalan yang digalakkan juga ialah memperbany­akkan berdoa. Kata Imam as-Syafie (wafat 204H) dalam kitabnya al-Umm: “Telah disampaika­n kepada kami (daripada salaf terdahulu), bahawa dikatakan doa akan dimakbulka­n pada lima malam iaitu pada malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama Rejab dan malam nisfu Syaaban.”

Meskipun Imam as-Syafie tidak membawakan sanad lengkap, namun kata-kata itu ada diriwayatk­an oleh al-Daylami dan Ibn Asakir daripada hadis Abu Umamah RA serta oleh Abd al-Razzaq dan al-Bayhaqi dalam Syu‘ab al-Iman daripada kata-kata Ibn ‘Umar RA.

As-Syafie meriwayatk­an daripada gurunya, Ibrahim bin Muhammad kata beliau: “Aku pernah melihat syeikh daripada kalangan ahli Madinah yang dihormati duduk di dalam masjid

Nabi SAW pada malam hari raya untuk berdoa dan berzikir kepada Allah sehingga berlalunya satu pertiga daripada malam.”

Antara amalan yang digalakkan pada malam itu ialah memperbany­akkan bertakbir. Waktu takbir bermula dengan terlihatny­a anak bulan Syawal menandakan berakhirny­a Ramadan dan berterusan hingga keluarnya imam untuk menunaikan solat hari raya.

Kata Imam as-Syafie di dalam kitab al-Umm: “Apabila mereka melihat anak bulan Syawal, aku suka jika orang ramai bertakbir baik secara berjemaah dan individu, sama ada di masjid, pasar, jalan dan rumah, baik bermusafir atau bermukim, pada setiap keadaan dan di mana jua mereka berada. Dan hendaklah mereka menzahirka­n takbir itu serta terus bertakbir sehingga mereka pergi ke tempat solat dan juga selepas tiba di sana, sampailah keluarnya imam untuk bersolat. Kemudian barulah berhenti takbir.”

Beliau meriwayatk­an bahawa tokoh tabiin seperti Said bin al-Musayyib, Urwah bin az-Zubair, Abu Salamah dan Abu Bakr bin Abd ar-Rahman sering bertakbir pada malam Aidilfitri di masjid. Mereka bertakbir dengan suara nyaring.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabang­sa Selangor (Kuis)

 ??  ?? WAKTU takbir bermula dengan terlihatny­a anak bulan Syawal menandakan berakhirny­a Ramadan.
WAKTU takbir bermula dengan terlihatny­a anak bulan Syawal menandakan berakhirny­a Ramadan.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia