Harian Metro

6 HARI BERJALAN

Sekeluarga nekad pulang ke kampung selepas hilang kerja

-

Ketika individu lain akur dengan larangan mudik, lain pula kisahnya dengan sebuah keluarga dari Gombong, Jawa Tengah, Indonesia yang nekad pulang ke kampung di Soreang di sini, dengan berjalan kaki kerana kesempitan hidup.

Portal Kompas melaporkan, ketika ditemui kelmarin, mereka mengakui sudah berjalan kaki selama enam hari.

Ketua keluarga itu, Dani berkata, dia bersama isteri dan dua anaknya bertolak dari Gombang pada petang minggu lalu iaitu selepas waktu solat Asar.

Katanya, dia mengambil keputusan pulang ke kampung selepas tidak lagi bekerja di pusat jahitan dan mereka terpaksa berjalan kaki kerana tiada wang untuk menaiki pengangkut­an awam.

“Wang upah bekerja sebelum ini hanya cukup untuk membayar sewa rumah dan belanja makan.

“Jadi, saya nekad bawa keluarga pulang ke kampung berbekalka­n wang 120,000 rupiah (kira-kira RM35) saja untuk membeli makanan dan minuman untuk anak,” katanya.

Menurut Dani, selepas penat berjalan, dia, isteri dan anaknya akan berehat di stesen minyak dan masjid yang ditemui sepanjang perjalanan.

Katanya, mereka tidur di situ dan meneruskan perjalanan selepas solat Subuh.

Dani berkata, mereka kemudianny­a akan berehat semula apabila cuaca mula panas untuk berteduh seketika.

“Selepas solat Asar, kami berhenti dan teruskan perjalanan sebelum berehat pada jam 8 malam di stesen minyak.

“Jika tiada masjid dan stesen minyak, kami akan teruskan berjalan sehingga jam 11 malam, malah pernah sehingga tengah malam.

“Sepanjang perjalanan, kami tidak diganggu penjahat sebaliknya ramai orang yang bermurah hati memberi makanan buat anak saya,” katanya.

Indonesia menguatkua­sakan larangan mudik atau pergerakan besar-besaran warga bandar untuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri, mulai Khamis lalu sehingga 17 Mei.

Ia tahun kedua kerajaan menguatkua­sakan larangan itu yang bertujuan mengawal penularan jangkitan Covid-19.

Jakarta Post melaporkan langkah itu bagi mengekang lonjakan kes baharu Covid-19 selepas musim cuti atau perayaan, seperti tahun sebelumnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia