Lelaki bertanjak cucuk vaksin
Bukan sengaja mencuri tumpuan, namun minat mendalam mendorong Mohammad Faeez Harith Khairil Anuar mengambil suntikan vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) dengan memakai busana tradisional.
Mohammad Faeez Harith, 31, turut memakai tanjak selain membawa bersama keris dan tongkat, sekali gus menjadi pelengkap persalinannya.
Menurut Mohammad Faeez Harith, kehadirannya ke PPV itu bagi mengambil suntikan dos pertama selepas mendapat janji temu pada 13 Julai lalu.
Mohammad Faeez Harith berkata, menjadi rutin hariannya menggayakan busana tradisional.
Anak sulung daripada tiga beradik itu mengakui lebih selesa menggayakan busana tradisional ke PPV.
“Saya lihat perkongsian di laman sosial, ramai yang hadir ke PPV sebelum ini dengan memakai kostum, jadi mengapa tidak saya datang menggayakan busana tradisional?
“Ada yang memandang pelik, tetapi proses pengambilan vaksin berjalan lancar malah ada petugas teruja melihat penampilan saya dan mengajak bergambar,” katanya ketika ditemui di PPV Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, semalam.
Mohammad Faeez Harith berkata, dia mula minat menggayakan busana tradisional sejak tiga tahun lalu dan keinginan itu tercetus selepas melihat penampilan sekumpulan lelaki yang hadir ke seminar kebudayaan dalam persalinan lengkap.
Sejak itu, dia turut cuba menyarung busana tradisional dan ia akhirnya menjadi pakaian harian kecuali di rumah.
“Budaya pemakaian busana tradisional semakin pupus malah kebanyakan rekaan pakaian dihasilkan sempena musim perayaan juga diberikan sentuhan baharu dan moden.
“Bagaimanapun, saya cuba tanam minat dalam kalangan anak muda menerusi perkongsian di laman sosial terutama Twitter.
“Diharap usaha ini membantu menarik minat pengikut berbilang bangsa supaya tidak malu menggayakan busana tradisional kaum masing-masing di tempat awam,” katanya.
Berhubung pengambilan vaksin, Mohammad Faeez Harith berkata, dia membuat pendaftaran di aplikasi Mysejahtera pada 23 Februari lalu.
“Alhamdulillah, penantian itu berakhir hari ini (semalam) dan bersyukur kerana terpilih menerima suntikan,” katanya yang menerima suntikan dos kedua pada 7 Ogos ini.
‘
Ada yang memandang pelik, tetapi proses pengambilan vaksin berjalan lancar, malah ada petugas teruja melihat penampilan saya dan mengajak bergambar,”
Mohammad Faeez Harith