Melaka United tewaskan Selangor FC
Melaka: Kemenangan 3-2 Melaka United mengatasi Selangor FC dalam aksi persahabatan di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput kelmarin membakar semangat pemain untuk memberikan prestasi terbaik dalam baki saingan liga musim ini.
Pengurus pasukan MU, Muhammad Akram Abdullah berkata, keputusan terbabit bukan ukuran sebenar kekuatan pasukan, namun apa yang penting pemain berjaya menterjemah persembahan berkualiti sepanjang 90 minit perlawanan.
Katanya, walaupun sekadar aksi pemanas badan, ia juga pengukur buat jurulatih membentuk tahap persembahan yang diharapkan sepanjang saingan selepas ini.
Menurutnya, dia lega seluruh pemain berjaya membuktikan kesungguhan dan keyakinan tinggi dalam aksi berkenaan untuk tidak menghampakan peminat dalam usaha memperbaiki kedudukan.
“Justeru saya yakin dengan apa yang ditunjukkan dalam perlawanan persahabatan menentang Selangor FC ini memberi isyarat jelas mereka sudah bersedia.
“Saya tidak menjanjikan bulan dan bintang, tetapi penyokong MU khususnya akan merasakan satu perubahan berbeza daripada pemain terutama dalam aspek serangan,” katanya.
Gol MU dalam perlawanan berkenaan dihasilkan menerusi Sony Norde pada minit ke-9 dan Giovane Gomes da Silva (m- 16 dan 29), sementara gol lawan menerusi Ifedayo Olusegun m-63 dan Nik Sharif m-87.
Sementara itu, pengendali MU, Zainal Abidin Hassan berkata, perlawanan berkenaan penting untuk mengukur tahap keupayaan pemain dan persefahaman pasukan.
Justeru, dia akan mengunakan kesempatan kem latihan berpusat 2.0 ketika ini untuk memperbaiki segala kelemahan.