Harian Metro

Nelayan, petani serta penternak positif Covid-19 terima bantuan

-

Marang: Kerajaan Terengganu menyalurka­n RM45,000 untuk 90 nelayan, petani dan penternak yang positif Covid-19 bagi meringanka­n beban kewangan mereka.

Pengerusi Jawatankua­sa Pertanian, Industri Makanan, Perladanga­n, Komoditi dan Pembanguna­n Luar Bandar Terengganu Dr Azman Ibrahim berkata, kesemua mereka menerima bantuan tunai RM500 secara sekali bayar atau one-off.

“Senarai ini (nelayan, petani dan penternak) kita peroleh daripada Jabatan Perikanan, Jabatan Perkhidmat­an Veterinar, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Lembaga Pertubuhan Peladang setakat Jun 2021.

“Sumbangan sudah diserah melalui program bersama komuniti nelayan, penternak dan petani di daerah yang terlibat secara berperingk­at serta bantuan kewangan itu diharap dapat memberi kelegaan buat mereka yang tidak boleh keluar mencari rezeki sepanjang tempoh kuarantin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program penyerahan lesen sampan nelayan, bantuan touch point (peralatan menangkap ikan), bantuan Covid-19 dan bakul makanan secara pandu lalu kepada 42 nelayan Marang di Pangkalan Merchang di sini, semalam.

Setakat ini seramai 80 nelayan, petani dan penternak di Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Marang sudah menerima bantuan tersebut manakala mereka di daerah Dungun dan Hulu Terengganu akan menikmati bantuan sama dalam masa terdekat.

Mengulas rungutan pengusaha keropok keping di Terengganu mengenai kekurangan stok isi ikan yang berlaku ketika ini, Dr Azman berkata pihaknya akan mencari punca sebenar permasalah­an itu.

“Memang kita ada terima rungutan ini, kita akan tengok beberapa sumber bekalan sebab biasanya stok isi ikan ini dibawa dari negeri lain dan bukan di Terengganu. Kebanyakan ikan di sini dijual dalam bentuk ikan segar dan bukan dibuat palet.

“Untuk stok isi ikan, kita akan tengok isu ini secara menyeluruh bersama Jabatan Perikanan untuk tahu di mana punca dan masalah hingga bekalan tak sampai. Semua daerah di Terengganu memang terlibat dengan industri keropok kecuali Hulu Terengganu,” katanya.

‘ Bantuan kewangan itu diharap dapat memberi kelegaan buat mereka yang tidak boleh keluar mencari rezeki sepanjang tempoh kuarantin”

Dr Azman Ibrahim

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia