Harian Metro

Industri sawit tidak terjejas

-

Kuala Lumpur: Industri sawit negara tetap berdaya tahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) dan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara berfasa yang sedang dilaksanak­an di seluruh negara.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, ketika pelaksanaa­n PKP 1.0 (dari 18 Mac hingga 28 April 2020) hanya sektor pertanian mencatat pertumbuha­n positif 0.9 peratus tahun ke tahun untuk suku kedua 2020.

Katanya, aktiviti ekonomi di sektor pertanian dibenarkan beroperasi ketika PKP dan penggiat industri meneruskan aktiviti di ladang dan rantaian bekalan seperti biasa.

“Harga purata minyak sawit mentah (MSM) meningkat 66.9 peratus atau RM1,628 kepada RM4,061.50 per tan untuk separuh pertama 2021, daripada RM2,433.50 per tan untuk tempoh yang sama pada 2020.

“Nilai eksport minyak sawit meningkat 36.3 peratus atau RM7.69 bilion kepada RM28.87 bilion untuk tempoh Januari hingga Jun 2021, berbanding RM21.19 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.

“Jumlah eksport minyak sawit bagi tempoh Januari hingga Jun 2021 adalah 7.07 juta tan, lebih rendah sebanyak 9.3 peratus, berbanding 7.80 juta tan pada tempoh sama 2020 disebabkan persaingan daripada minyak sayuran lain dan dasar import di negara pengimport.

“Harga MSM dan minyak kacang soya di pasaran dunia pula berada pada trend menaik dalam tempoh Januari hingga Jun 2021,” katanya dalam kenyataan.

Dr Ahmad Parveez berkata, jumlah penjualan biji benih dan anak benih sawit meningkat 33.4 peratus sepanjang Januari hingga Jun 2021 kepada 27.73 juta biji benih dan anak benih sawit, berbanding 20.79 juta biji benih dan anak benih untuk tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Ini kerana aktiviti mengangkut biji benih dan anak benih dibenarkan ketika PPN dilaksanak­an.

Ketika PKP 1.0, pengeluar benih dan pengusaha benih tidak dibenarkan beroperasi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia