Harian Metro

Azizul sokong Harrif kembali ke velodrom

- Oleh Malik Muhamad sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasn­i Awang mengalu-alukan hasrat bekas rakan sepelatihn­ya, Harrif Saleh yang ingin kembali mewarnai acara trek dalam sukan berbasikal.

Malah pemenang pingat perak dalam acara keirin temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo pada 8 Ogos lalu mengakui pelumba kelahiran Terengganu itu mampu melangkah lebih jauh berdasarka­n bakat yang ada.

The Pocket Rocketman yang sama usia 33 tahun dengan Harrif juga akui belum terlambat buat pelumba yang lebih mesra dipanggil Mamat itu untuk mengintai peluang ke pentas sukan terbesar dunia itu.

“Saya gembira jika Harrif berhasrat untuk kembali dalam acara trek, di sekolah sukan dan di Majlis Sukan Negara (MSN) pun saya pernah sekali berlatih dengan dia, malah ketika berlatih di Melbourne, Australia pun saya pernah sekali dengan dia.

“Lagipun Harrif seorang pelumba yang begitu berbakat, saya pun membesar dalam sukan basikal sekali dengan dia bermula dengan mountain bike.

“Jika dia kembali semula dalam acara trek, saya begitu teruja malah kami boleh bersaing dengannya, saya yakin jika perancanga­n rapi diatur, dia mampu melangkah lebih jauh dalam acara ini,” katanya.

Pada 23 Ogos lalu, Harrif meluahkan keinginan untuk kembali beraksi dalam velodrom bagi mengintai peluang beraksi pada Sukan Olimpik 2024 di Paris sekiranya mendapat restu dan ‘lampu hijau’ daripada Majlis Sukan Negara (MSN) serta Persekutua­n Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM).

Pelumba sensasi Terengganu Cycling Team (TSG) itu sedia keluar perbelanja­an sendiri selain melaungkan keyakinan mampu menjadi pencabar utama kejohanan dalam dewan itu jika diberi peluang kedua serta latihan mencukupi.

Malah jaguh dalam acara lebuh raya itu yang pernah melakar sejarah menjadi pelumba pertama negara menjuarai Jelajah Eropah pada kejohanan berstatus 1.2 Kesatuan Berbasikal Antarabang­sa (UCI) di Alanya, Turki pada Februari lalu juga bersedia untuk berlatih semula bersama wira negara itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia