Harian Metro

PMYT KARUT & KHURAFAT

- Oleh Skuad Khas Harian Metro am@hmetro.com.my

Ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir diasaskan seorang wanita disifatkan sebagai karut dan khurafat. Malah Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendedahka­n ada dalam kalangan ribuan pengikut ajaran itu sudah menjual rumah, membina rumah dalam hutan, mengorek tanah untuk dijadikan kubu dan bermacam lagi termasuk memulakan perjalanan ke Syam bersama Imam Mahdi,

Satu dakwaan yang dilihat mengarut lagi khurafat. Itu reaksi Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) yang mendakwa kebenaran mimpi ketuanya digelar Sittah Annur.

Mohd Asri dalam satu ulasannya yang dipetik di YouTube berkata, mimpi di dalam Islam sememangny­a diiktiraf menerusi beberapa dalil namun ia hanya membabitka­n orang soleh dan bukannya dakwaan mengarut yang dikatakan wanita berkenaan.

Beliau berkata, Jabatan Mufti Perlis mempunyai maklumat berhubung pergerakan kumpulan itu termasuk mengenal pasti ketua-ketua ajaran ini.

“Kumpulan ini bukan seratus, dua ratus pengikut, mereka ada ribuan pengikut termasuk menggunaka­n pelbagai platform media sosial untuk menyebarka­n fahaman khurafat mereka.

“Mereka (pengikut kumpulan PMYT) ini bergantung kepada mimpi wanita berkenaan yang membuat pelbagai ramalan terutama membabitka­n kiamat.

“Ada dalam kalangan pengikut mereka yang sudah menjual rumah, membina rumah di dalam hutan, korek tanah untuk jadikan kubu dan bermacam lagi termasuk untuk memulakan perjalanan ke Syam bersama dengan Imam Mahdi,” katanya.

Mohd Asri berkata, ada juga pengikut PMYT sudah mempersiap­kan diri untuk menghadapi peperangan akhir zaman dengan membeli peralatan seperti anak panah.

Beliau berkata, kumpulan ini juga menyasarka­n lokasi sempadan negara termasuk Perlis untuk berkumpul sebelum memulakan perjalanan untuk menyertai pasukan Imam Mahdi.

“Kita (Jabatan Mufti Perlis) mempunyai maklumat berhubung pergerakan kumpulan ini dan tahu siapa kepalanya (ketua) serta pengikut mereka,” katanya.

Metro Ahad semalam melaporkan seorang wanita berusia 39 tahun yang menggunaka­n gelaran Sittah Annur didakwa mula mengembang­kan ajaran PMYT dipercayai bertentang­an dengan ajaran Islam yang sebenar.

Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam, Selangor itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunaka­n media sosial seperti Facebook, YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan termasuk Perang Dunia Ketiga kononnya berlaku di Sabah sebelum dia memimpin pasukannya untuk mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.

 ??  ??
 ??  ?? LAPORAN Metro Ahad, semalam.
LAPORAN Metro Ahad, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia