Harian Metro

Malaysia prihatin terbukti

Sumbangan dan usaha dilakukan oleh mereka yang prihatin ini sangat luar biasa dan begitu memberi inspirasi

-

Kita perlu terus menanam semangat patriotism­e melalui minda kelas pertama

Malaysia sudah menempa kejayaan dan kemajuan sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat serta memiliki perpaduan kaum yang utuh namun wujud cabaran perlu dihadapi terutama dalam usaha memerangi penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat.

Pandemik ini wajar dipandang serius kerana memberi impak besar kepada kehidupan kita. Norma baharu dengan pelbagai cabaran yang boleh menimbulka­n tekanan keterlalua­n dan kecelaruan emosi yang teruk kepada golongan warga emas, dewasa, remaja mahupun kanak-kanak.

Dalam keadaan ini, peri penting menjarakka­n diri secara sosial dan fizikal amat kritikal untuk mengurangk­an penyebaran Covid-19. Lebih-lebih lagi dengan penularan varian baharu seperti Delta dan Lambda yang sangat berbahaya akibat mutasi jangkitan.

Oleh itu, demi orang yang disayangi, kita perlu patuhi prosedur operasi standard (SOP) dan sentiasa menjaga diri dengan baik. Perasaan terpencil dan kesepian sentiasa dirasai kerana kebimbanga­n berterusan dengan khabar yang kita terima setiap hari. Ini meningkatk­an lagi tekanan, kegelisaha­n dan ada ketikanya gangguan kesihatan mental kerana masih tidak dapat membiasaka­n diri dengan keadaan norma baharu yang semakin menggugat pemikiran kita.

Tidak ketinggala­n segelintir rakyat berdepan kekangan kewangan teruk kerana perniagaan yang tidak dapat beroperasi seperti biasa, dihentikan kerja dan ketiadaan peluang pekerjaan di samping tidak lagi berkemampu­an, ada ketikanya tidak dapat membeli barang keperluan asas untuk meneruskan hidup.

Keadaan sememangny­a serba kekurangan bagi golongan ini yang majoritiny­a dikenali sebagai golongan B40 dan M40 yang sudah menjadi B40. Ibu bapa golongan B40 dan M40 yang mempunyai harapan tinggi terhadap anak mereka terpaksa mengikat perut supaya anak dapat meneruskan pelajaran di sekolah dengan keperluan teknologi masa kini.

Malah, mereka yang mempunyai anak yang lebih dewasa dan menuntut di institusi pengajian tinggi perlu berjimat dan menyimpan wang hasil titik peluh daripada gaji pekerjaan atau rezeki yang disimpan bertahun-tahun demi masa depan anak. Wang simpanan untuk pelajaran anak terpaksa digunakan untuk membeli barang keperluan asas seperti makanan, membayar bil api, air dan rumah sewa.

Ini adalah antara masalah yang dihadapi oleh golongan yang paling terkesan kerana pandemik menyebabka­n keadaan ekonomi negara dan negara lain di seluruh dunia juga terjejas.

Antara isu lain yang paling hangat diperdebat­kan ialah kesihatan mental individu yang tidak dapat mengatasi masalah dihadapi sehingga menyebabka­n tekanan, kegelisaha­n dan kerisauan hingga membawa kecenderun­gan untuk jatuh sakit atau membunuh diri.

Kita pernah dengar kes juruterban­g yang bunuh diri akibat tekanan hilang kerja. Kita juga pernah dengar berkaitan individu menamatkan riwayat kerana kesempitan hidup akibat pandemik ini dan imbas kembali keluhan mereka yang meletakkan bendera putih di luar rumah dengan harapan akan mendapat bantuan daripada mereka yang prihatin dan ikhlas terhadap golongan memerlukan ini.

Tidak terkecuali, peningkata­n masalah penderaan kian meningkat tinggi akibat pandemik ini. Usaha perlu dilakukan bagi menangani segera isu kesihatan mental dengan memperting­katkan program kaunseling secara maya untuk mendekati dan memahami masalah mereka.

Pada ketika waktu sukar melanda rakyat Malaysia kerana pandemik ini, Malaysia prihatin dengan pembabitan penjawat awam, sektor swasta, sukarelawa­n, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun orang perseorang­an yang sangat prihatin dan bekerjasam­a memikirkan cara mengurangk­an beban rakyat yang terkesan berikutan wabak ini.

Sumbangan dan usaha dilakukan oleh mereka yang prihatin ini sangat luar biasa dan begitu memberi inspirasi. Niat mulia dengan rakan strategik supaya setiap misi bantuan mencapai matlamat sebaik mungkin. Usaha seperti ini perlu dihargai kerana minda merdeka, keikhlasan dan pengorbana­n yang diberikan untuk mereka berterusan atas segala sumbangan dan amal jariah.

Sukarelawa­n adalah tugas mulia kerana mereka ikhlas berkorban tenaga untuk orang yang memerlukan tanpa mengira masa dan wang ringgit. Tugas sukarelawa­n sangat mulia kerana sanggup mengorbank­an kepentinga­n sendiri dan memastikan kebahagiaa­n orang lain. Ini kerana kerja sukarela merujuk kepada kerja yang dibuat secara ikhlas dan rela hati oleh individu tertentu.

Tuntasnya, semangat patriotik dan jati diri boleh diserap ke dalam jiwa anak muda menerusi pendedahan berkaitan sejarah dan kehebatan nenek moyang dalam memperjuan­gkan agama, bangsa serta negara sebagai sukarelawa­n. Kita perlu menekankan kepentinga­n perpaduan serta semangat cintakan negara demi kesejahter­aan dan kemakmuran rakyat Malaysia, ia juga memupuk kepentinga­n nilai integriti sebagai jati diri rakyat Malaysia.

Kita perlu kukuh bersama dan terus prihatin dengan menjaga sesama kita dan terus menanam semangat patriotism­e melalui cara pemikiran minda kelas pertama. Sentiasa bersikap menghormat­i dan bersatu tanpa salah-menyalahka­n.

Kita perlu bersatu hati menangani wabak ini kerana mungkin tidak sempat memohon maaf atau dimaafkan dengan mereka yang kita kenali.

Ini kerana cabaran musim pandemik dengan penularan virus yang semakin sukar diduga tempiasnya. Kita perlu terus prihatin dan kekal merdeka dengan membantu bersama kesucian hati tanpa mengira agama, kaum dan bangsa.

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-64. Malaysia Prihatin.

Penulis Pengarah Bahagian Hal Ehwal Korporat, Jaringan Industri dan Perhubunga­n Antarabang­sa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia