Harian Metro

Drama cemas kerana RM150

Polis terpaksa lepas empat das tembakan ke arah tayar kereta lelaki melarikan diri selepas menyamun warga asing

- Oleh Raja Noraina Raja Rahim rnoraina@hmetro.com.my

Polis terpaksa melepaskan empat das tembakan ke arah tayar kereta seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis untuk menyamun warga asing di Jalil Link, Bukit Jalil di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, suspek berusia 43 tahun berjaya meloloskan diri dengan memandu naik ke pembahagi jalan dan melawan arus menuju ke Lebuhraya Shah Alam (Kesas) menghala Shah Alam.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras membuat risikan dan menahan suspek dan merampas kereta di Taman Sentosa, Klang pada jam 8.50 malam kelmarin.

Muhammad Idzam berkata, dalam kejadian Sabtu lalu suspek dikatakan menahan seorang lelaki warga asing yang sedang berjalan di hadapan sebuah apartment di Bukit Jalil di sini, pada 6.30 petang,

“Suspek memperkena­lkan diri sebagai anggota polis lalu membuat pemeriksaa­n ke atas warga asing tersebut dan mengambil wang RM150 milik lelaki itu.

“Dua anggota Balai Polis Bukit Jalil yang menjalanka­n tugas ronda jenayah melihat kejadian lalu menghampir­i suspek namun lelaki itu melarikan diri dengan memandu kereta Perodua Myvi menggunaka­n nombor pendaftara­n palsu.

“Ketika melarikan diri, suspek turut melanggar beberapa kenderaan orang awam di situ,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Muhammad Idzam berkata, anggota polis menunggang motosikal mengejar suspek sehingga ke Jalil Link, Bukit Jalil yang mana kereta suspek terhalang oleh kenderaan yang berhenti di lampu isyarat merah.

Menurutnya, seorang daripada anggota polis mengarahka­n supaya suspek keluar dari kenderaan dan memberi amaran namun suspek memandu meluru ke arah anggota polis itu menyebabka­n anggota terpaksa melepaskan empat das tembakan ke arah tayar keretanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek memiliki beberapa rekod jenayah dan dadah, malah ujian saringan urin juga didapati positif methamphet­amine.

“Suspek direman hari ini (semalam) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307/392 Kanun Keseksaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubung­i Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superinten­dan Wan Razzo Wan Hashim di talian 019-2633120 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Dua anggota Balai Polis Bukit Jalil yang menjalanka­n tugas ronda jenayah melihat kejadian lalu menghampir­i suspek namun lelaki itu melarikan diri dengan memandu kereta Perodua Myvi menggunaka­n nombor pendaftara­n palsu”

Muhammad Idzam Jaafar

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia