Harian Metro

CINTA PARALIMPIK

Pasangan dari AS jatuh cinta pandang pertama di gelanggang

- Susunan Hamdan Saaid am@hmetro.com.my

Pada temasya Sukan Paralimpik yang sedang berlangsun­g, dua insan bercinta menjadi tumpuan ramai kerana kedua-duanya layak bertanding pada Tokyo 2020.

Hunter Woodhall, pelari pecut kudung kedua-dua kaki berusia 22 tahun dan pemenang dua pingat Paralimpik sudah bercinta selama empat tahun dengan atlet lompat jauh Amerika Syarikat (AS), Tara Davis.

Namun, perjalanan pelari pecut itu ke bumi Jepun bersama pasukan AS lebih istimewa kerana ia hadir selepas Tara, 20, turut bertanding pada Sukan Olimpik musim panas baru-baru ini, menduduki tangga keenam acara lompat jauh wanita.

Percintaan dua bintang padang dan balapan itu mula berputik pada satu kejohanan olahraga di Idaho empat tahun lalu.

Tara mendedahka­n dia jatuh cinta pandang pertama terhadap Woodhall. Selepas itu, mereka bercinta dari kejauhan kerana Woodhall menetap di Arkansas manakala Tara tinggal di Texas.

Dalam tempoh empat tahun terakhir, pasangan itu bekerja keras untuk mencapai impian mereka dan peminat teruja mengikuti perkembang­an mereka menerusi media sosial.

Mereka mempunyai lebih 327,000 pengikut (subscriber) di laman YouTube dan beratus ribu pengikut di laman Instagram masing-masing.

Pada Jun lalu, apabila Tara mengepos foto dia dan Woodhall berpelukan dan mengumumka­n mereka layak bertanding pada Olimpik musim panas ini, lebih daripada 95,000 peminat menyatakan like terhadap hantaran mereka itu.

Sejak itu, pasangan itu berterusan memberi inspirasi dan galakan sekali gus menceriaka­n peminat mereka ketika mereka merakamkan perjalanan individu dan sokongan mereka terhadap satu sama lain.

“Saya mahu orang tahu kami hanya dua insan biasa,” kata Woodhall yang memenangi pingat perak acara 200 meter dan gangsa 400m di Paralimpik Rio 2016.

“Tara seorang yang ceria. Saya seorang kurang upaya. Tapi kami mahu orang tahu siapa pun anda atau apa situasi sekalipun anda berada, ia okay dan itulah yang membuatkan anda istimewa dan unik. Banggalah dengan diri anda dan buru impian yang anda mahukan.”

Tara seorang yang ceria. Saya seorang kurang upaya Woodhall

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia