Harian Metro

Abadi memori perang

Papan tanda kenang pengeboman rasuk Jambatan Sultan Iskandar dan pertempura­n di Slim River

-

Peristiwa pengeboman rasuk Jambatan Sultan Iskandar di sini dan pertempura­n Slim River sewaktu Perang Dunia Kedua kini terpahat dalam bentuk papan tanda maklumat bagi memperinga­ti peristiwa bersejarah itu sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Ketua Penyelidik dan Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia (MHG) Shaharom Ahmad berkata, dua lokasi itu antara 16 lokasi di seluruh Perak yang mempunyai kesan Perang Dunia Kedua yang perlu dipulihara agar tidak pupus ditelan arus pembanguna­n serta pemodenan.

“Sebelum kita pasang papan tanda, kita akan membuat kajian terperinci membabitka­n banyak pihak termasuk dari diari perang tentera dan pengkaji sejarah di dalam dan luar negara. Malah, ada kajian yang dibuat berpuluh tahun lamanya sebelum berjaya dibuktikan wujudnya kesan perang di negara ini.

“Kesan perang itu termasukla­h kubu lama, aset ketenteraa­n, bangkai pesawat, batu memorial, kubur bekas tentera dan terowong bawah tanah. Sebelum ia hilang, dicuri, dimusnahka­n dan sebagainya, ia perlu dipelihara dan menjadi bahan sejarah seperti dalam bentuk papan tanda maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pemasangan papan tanda maklumat di Jambatan Sultan Iskandar kira-kira 50 kilometer dari Ipoh baru-baru ini, yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandara­n Kuala Kangsar (MPKK) Zulqarnain Mohamad.

Jelas Shaharom, papan tanda yang dipasang di Kampung Jamuan, terletak di bawah Jambatan Sultan Iskandar itu antara lain memaparkan catatan sejarah penting termasuk gambar peristiwa pengeboman rasuk jambatan berkenaan oleh tentera British bagi mengekang kemaraan tentera Jepun ke Tanah Melayu pada 1942.

Menurutnya, lokasi itu dipilih kerana wujudnya sebuah kubu British lama dipercayai dijadikan markas memantau pergerakan keluar masuk ke Kuala Kangsar dan kawasan sekitar namun kini terabai selain wujudnya kesan vandalisme.

“Semasa Perang Dunia Kedua (1941-1945), jambatan dibina pada 1938 ini merupakan lokasi strategik bagi kemaraan tentera Jepun dari Thailand menerusi Kedah untuk ke Kuala Lumpur.

“Selain pertempura­n di Kota Tampan, Lenggong, tentera British terpaksa mengebom rasuk jambatan supaya kemaraan kenderaan dan aset tentera Jepun dapat diperlahan­kan sehingga perlu menukar laluan lain untuk menuju ke Kuala Lumpur.

“Selepas pengeboman, tentera British berundur dari kawasan itu pada 22 Disember 1941. Namun mereka datang balik selepas perang tamat bagi membaiki kemusnahan di jambatan itu agar dapat digunakan semula,” jelasnya.

Menyentuh mengenai papan tanda maklumat di lokasi pertempura­n Slim River yang dipasang sehari sebelum pemasangan papan tanda maklumat di jambatan Sultan Iskandar, Shaharom berkata, ia memaparkan maklumat mengenai peristiwa penting itu yang menjadi titik tolak kekalahan British dalam Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu khususnya di Perak pada 6 Januari 1942.

“Pertempura­n ini menyaksika­n 1,000 korban manakala banyak kelengkapa­n tentera British musnah atau dirampas seperti meriam biasa, meriam antipesawa­t, kereta perisai dan trak,” katanya.

Mengulas perancanga­n masa depan, Shaharom berharap pihaknya dapat memasang atau menaik taraf lebih banyak papan tanda maklumat di kesemua 16 lokasi kesan Perang Dunia Kedua di negeri ini.

 ??  ?? ZULQARNAIN (tengah) bersama Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee (kanan) dan Shaharom berdiri di sebelah papan tanda informasi Jambatan Sultan Iskandar.
ZULQARNAIN (tengah) bersama Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee (kanan) dan Shaharom berdiri di sebelah papan tanda informasi Jambatan Sultan Iskandar.
 ??  ?? SETIAUSAHA Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee (kanan) dan Shaharom mengibar Jalur Gemilang sambutan Hari Kebangsaan ke-64 di Jambatan Sultan Iskandar.
SETIAUSAHA Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee (kanan) dan Shaharom mengibar Jalur Gemilang sambutan Hari Kebangsaan ke-64 di Jambatan Sultan Iskandar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia