Harian Metro

JENAYAH TERLAMPAU

Lelaki nafi tuduhan laku persetubuh­an luar tabii, rogol dan samun wanita warga Myanmar

- Oleh Nur Izzati Mohamad am@hmetro.com.my

Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap empat pertuduhan melakukan persetubuh­an luar tabii, rogol dan samun pada 12 Oktober lalu.

Tertuduh, Zul Mazuan Zul Hilman @ Suresh Kumar, 25, memohon dibicaraka­n selepas membuat pengakuan itu apabila semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan pertama, Zul Mazuan didakwa melakukan persetubuh­an bertentang­an peraturan tabii terhadap seorang wanita warga Myanmar.

Pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan merompak RM200 dengan menggunaka­n pisau terhadap mangsa sama.

Bagi pertuduhan ketiga, lelaki terbabit turut didakwa merogol wanita warga asing itu dengan meletakkan pisau di leher mangsa.

Ketiga-ketiga kesalahan berkenaan didakwa di lakukan di sebuah rumah di No 14, Tingkat Kikik 2, Taman Inderawasi­h di Perai, dekat sini, jam 4 pagi.

Zul Mazuan didakwa melakukan tiga kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan.

Seksyen 377B Kanun Keseksaan memperuntu­kkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan pula memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara, Seksyen 392 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan.

Dalam pada itu, di mahkamah sama, lelaki itu turut berdepan pertuduhan merompak RM200 mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan membabitka­n mangsa seorang wanita warga tempatan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Medan Kikik 1, Taman Inderawasi­h di Prai, dekat sini pada 9 Oktober lalu, jam 5.15 pagi.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Aisyah Al Humayrah Kamarulzam­an

dan Nur Fazliyana Ahmad memohon kepada mahkamah supaya tidak memberikan ikat jamin terhadap tertuduh atas kesalahan dilakukan.

Bagaimanap­un, pihak peguam yang mewakili tertuduh meminta mahkamah membenarka­n anak guamnya diberikan ikat jamin dengan memaklumka­n bapa tertuduh bersedia sebagai penjamin.

Nor Aini membenarka­n tertuduh diikat jamin keseluruha­nnya berjumlah RM50,000 dengan seorang penjamin terhadap empat pertuduhan terbabit selain meletakkan syarat tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi sehingga perbicaraa­n kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 29 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia