FOKUS 6 NEGERI KURANG MAJU
Agih 50% peruntukan pembangunan asas Persekutuan ke Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis
Sebanyak 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan asas Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan diagihkan kepada enam negeri kurang membangun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mengambil contoh sebuah keluarga, andai kata ada dalam kalangan anak yang lemah dari segi pembelajaran, sudah tentu akan memberi lebih tumpuan.
Katanya, apatah lagi jika ada ahli keluarga yang kurang bernasib baik dalam kehidupan, pasti akan menghulurkan pertolongan dan tidak membiarkan mereka bersendirian.
“Begitu juga dalam pentadbiran kerajaan. Keluarga Malaysia seperti golongan B40 dan M40 yang terkesan akibat pandemik akan terus diberi fokus dan keutamaan dalam mendapat manfaat bantuan kerajaan.
“Sejajar dengan ini, pembangunan sosio ekonomi negara, di negeri yang kurang membangun akan terus diberi keutamaan,” katanya pada pelancaran Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen
Borneo, Kuching, Sarawak, semalam.
Ismail Sabri berkata, Sarawak antara enam negeri selain Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang diberi tumpuan khusus bagi merapatkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, wilayah, bandar dan luar bandar agar kemakmuran ekonomi dinikmati secara adil dan saksama.
“Bagi tujuan ini, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan asas persekutuan dalam RMK12 akan diagihkan kepada enam negeri ini melibatkan penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi.
“Pendekatan yang sama juga akan menjadi intipati Bajet 2022 yang akan dibentangkan pada minggu hadapan,” katanya.
Beliau berkata, dalam merealisasikan matlamat Keluarga Malaysia yang menekankan nilai-nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran, kerajaan akan memantau secara dekat pelaksanaan program dan inisiatif yang dirancang khususnya di Sabah dan Sarawak, dalam usaha memastikan sama-sama membangun sebagai sebuah Keluarga Malaysia.